Bukan masa tentukan siapa calon PM – Pejuang
Parti Pejuang berpendapat terlalu awal untuk menentukan siapa yang bakal mengambil-alih tanggungjawab sebagai Perdana Menteri selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin, tumbang.
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, apabila kerajaan ini hilang keabsahan secara rasmi pada waktu itu kita semua kena serah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan proses Parlimen untuk menentukan siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri.
“Semua pihak harus fokus untuk jatuhkan kerajaan ‘tebuk atap’ PN terlebih dahulu yang sedang merosakkan keseluruhan institusi negara kita yang tercinta ini,” katanya.
Kata beliau, masih terlalu awal untuk namakan mana-mana individu sebagai calon Perdana Menteri agar tidak kelihatan kita terlalu taksub untuk berebut jawatan hendak jadi Perdana Menteri.
“Rakyat sudah tidak boleh ‘tolerate’ dengan sikap pemimpin-pemimpin politik untuk berebut kuasa pada hari ini.
“Selepas melalui proses Istana Negara dan Dewan Rakyat untuk memilih calon Perdana Menteri maka pada waktu itu sesiapa saja yang terpilih maka semua pihak kena akur serta menghormati keputusan tersebut dengan hati yang terbuka,” katanya.