Hiburan

Bonda Rozita Sah Berkahwin dengan Abang kepada Artis Terkenal

DESAS-DESUS mengenai perkahwinan usahawan terkenal, Bonda Rozita Ibrahim, akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan telah mendirikan rumah tangga dengan abang kepada pelakon terkenal, Datin Rebecca Nur Islam.

Perkara itu disahkan menerusi hantaran di Instagram semalam, di mana ibu kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri itu berkongsi beberapa keping gambar mesra bersama suami baharunya di hadapan Kaabah, dipercayai ketika sedang menunaikan umrah.

“Menjawab persoalan para pengikut. Dalam keberkatan bulan Ramadan ini, kami datang kepada-Mu dengan penuh harapan dan keinsafan.

“Ya Allah, limpahkanlah keberkatan kepada kami di dunia serta kebahagiaan di akhirat. Satukanlah hati kami dengan kasih sayang dan reda-Mu.

“Temukanlah kami dalam syurga-Mu yang abadi. Kami menyayangi anak-anak kami, berikanlah mereka kekuatan untuk terus beribadah dan melakukan kebaikan,” tulisnya dalam kapsyen hantaran tersebut.

Kisah perkahwinan Rozita menjadi tanda tanya selepas tular video memperlihatkan beliau sedang melintas jalan di Jepun sambil dipimpin seorang lelaki. Sebelum itu, seorang individu turut kelihatan dalam sesi siaran langsung Instagramnya ketika mempromosikan produk jualan, yang kemudian didakwa sebagai suami baharunya.

Lebih menguatkan spekulasi, anaknya, Nur Ain Sufiah, sebelum ini mengesahkan bahawa ibunya telah bercerai dan kini telah mendirikan rumah tangga dengan lelaki berkumis tebal yang pernah muncul dalam video siaran langsung tersebut.

Sementara itu, Datin Rebecca turut menitipkan doa buat kakak iparnya menerusi ruangan komen di Instagram.

“Alhamdulillah, semoga segalanya dipermudahkan buat Abang Long dan kakak iparku (Rozita). Umrah mabrur, amin,” tulisnya.

Bagaimanapun, menantu Rozita, Datin Seri Shahida, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyatakan bahawa hal tersebut lebih sesuai dijelaskan oleh ibu mentuanya sendiri.

Perkahwinan ini sekali gus menamatkan spekulasi yang berlegar di media sosial sejak beberapa bulan lalu. Semoga pasangan ini diberkati dan berbahagia hingga ke akhir hayat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button