PolitikPRK

BN masih berteka teki berhubung calon bertanding PRK Parlimen Tg Piai

PONTIAN– Nasional (BN) masih berteka-teki mengenai calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun berkata calon parti itu adalah anak tempatan.

“InsyaAllah, anak tempatan. Tetapi Datuk Hasni (Pengerusi BN Johor Datuk Ir Hasni Mohammad) mengarahkan saya jangan umum calon hari ini,” Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian berucap pada majlis pelancaran jentera BN PRK Parlimen Tanjung Piai di sini, hari ini. 

Beliau secara berseloroh turut berkata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut ‘meminta’ beliau tidak mengumumkan nama calon BN pada hari ini.

“Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong juga tidak mengalah, bisik pada saya… jangan umum dulu,” katanya.

Ahmad Zahid, sehubungan itu, memaklumkan beliau menyerahkan tugas bagi mengumumkan calon BN berkenaan kepada Hasni, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor pada waktu yang difikirkan sesuai.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi, pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai ditetapkan pada 2 Nov ini di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian manakala hari mengundi pada 16 Nov. -BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button