Politik

Janggal betul bila Malaysiakini ambil peranan Utusan

Isunya hanya usia calon Bersatu bagi PRK Tanjung Piai agak lanjut iaitu 66 tahun. Dan kebelakangan ini wakil rakyat berusia lanjut ini sering diserang penyakit serta tidak kurang pula meninggal dunia sehingga pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

Oleh kerana kenyataan itu portal Malaysiakini begitu ghairah menghentam Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Hasni Mohammad. Kerja-kerja sedemikian sebelum ini sering dilakukan oleh Utusan Malaysia yang merupakan media di bawah kawalan UMNO ketika berkuasa selama lebih 60 tahun.

Malaysiakini sebelum ini mendapat pilihan orang ramai kerana sering memberi pandangan yang berbeza dan lebih intelektual serta meyakinkan kini terpaksa menjerumuskan diri menjadi alat kerajaan ke tahap yang begitu rendah.

Mereka dan kerajaan hari ini sebenarnya tidak belajar daripada kekalahan Barisan Nasional (BN) tempoh hari. Kerajaan terdahulu tumpas kerana penggunaan dan manipulasi media arus perdana yang melampau sehingga orang ramai berpindah kepada media alternatif. BN menang di media arus perdana, tetapi mereka kalah di media sosial.

Usia memang seharusnya dijadikan perkiraan, walaupun ajal maut seseorang memang bukan kita yang tentukan, tetapi sebagai orang yang diberi akal kita boleh memilih calon yang lebih mudah dan sihat kerana wakil rakyat menagih kekuatan mental dan fizikal untuk mengharunginya.

Meletakkan calon berusia adalah sama meletakkan risiko kerana pastinya mempunyai pelbagai masalah kesihatan dan tidak cukup cergas untuk memikul tanggungjawab yang harus dipikul. Kos untuk mengadakan pilihan raya kecil bukan sedikit kalau tidak percaya tanyalah Suruhanjaya Pilihan Raya. Lagipun jika satu demi wakil rakyat PH meninggal dunia dan pilihan raya kecil terpaksa diadakan dan mereka tewas akhirnya kerajaan hari ini akan berkubur secara sendiri.

Kita faham kerajaan hari ini memang terdesak kerana setiap kali pilihan raya kecil diadakan pasti mereka tewas. Apatah lagi di Tanjung Piai ini calon mereka hanya menang dengan tipis iaitu kira-kira 500 undi sahaja. Sedang pada pilihan raya yang lalu kira-kira 3,000 ahli UMNO layak mengundi, tidak keluar mengundi. Sebanyak 800 undi pula rosak dan calon Pas sahaja memperolehi lebih 2,900 undi.

Jika dicampur, tolak dan bahagi, adalah hampir mustahil PH boleh menang di Tanjung Piai, dengan keadaan semasa kemarahan rakyat yang semakin meningkat kerana kegagalan kerajaan menunaikan janji dan mentadbir negara dengan baik.

Pas dan UMNO pula telah mengukuhkan muafakat pastinya memberi kelebihan kepada calon BN. Walaupun pelbagai janji ditabur oleh kerajaan kepada para pengundi di kawasan berkenaan, tetapi kesannya tidak seberapa, mungkin jumlah undi akan meningkat tetapi tidak cukup untuk memenangkan mereka. Taktik yang sama telah digunakan oleh kerajaan BN sebelum ini, kadang kala ia berkesan, tetapi pada kebanyakan masa ia gagal. Lihat sahaja pada pilihan raya umum lalu.

Sebenarnya sekarang adalah zaman pembalasan, dahulu pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Utusan dan kini Malaysiakini terpaksa menanggung nasib yang sama apabila menjadi media yang mempertahankan kerajaan. Kerja mempertahankan kerajaan bukan sesuatu yang mudah. Kalau tidak percaya tanyalah kepada editor Malaysiakini. Ia bukan sahaja akan membunuh kredibiliti, bahkan akan menjadi semakin tidak digemari pembaca.

Begitu juga kerajaan hari ini, dahulu mereka membangkang memang mudah, tetapi bila menjadi kerajaan, segala-galanya tidak menjadi dan tidak kena. Untuk melawan Bossku atau mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seorang pun mereka tidak mampu.

Oleh itu buat BN yang belum mengumumkan calon saya berharap mereka tidak mempersia-siakan peluang dan kepercayaan rakyat yang kembali kepada mereka dan saya juga ucapkan selamat berjaya untuk Malaysiakini dan Bersatu di Tanjung Piai. – SM

(Visited 99 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button