NasionalPolitik

BN hampir pasti letak calon bukan Melayu

BERDASARKAN kenyataan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN), parti itu dilihat hampir pasti meletakkan calon bukan Melayu bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Calon yang paling hampir adalah daripada MCA.

Ini berdasarkan prinsip BN yang selama ini menghormati pandangan parti-parti komponen.

Umum mengetahui kerusi Parlimen Tanjung Piai sebelum ini sememangnya ditandingi oleh parti yang mewakili masyarakat Cina tersebut.

Reaksi yang ditunjukkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di lobi Parlimen semalam, seolah-olah menjawab persoalan ini.

“Sudah tentu (gembira dengan calon). Kita sudah buat keputusan dan akan diumumkan esok di Pusat Gerakan BN di Tanjung Piai.  Tengoklah wajah saya (sambil tersenyum),” katanya.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam  berkata, calon itu telah dimuktamadkan dalam mesyuarat antaranya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran petang semalam.

Calon BN masih menjadi teka-teki ketika ini berikutan majlis pengumuman calon yang dijangka semalam ditangguhkan, sebaliknya hanya jentera parti itu yang dilancarkan.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dalam ciapannya di Twitter berharap agar rakyat negara ini tanpa mengira kaum dapat hidup dalam aman dan berjaya.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad mengingatkan jentera parti itu supaya mengekalkan momentum sepanjang kempen sehingga BN mencatat kemenangan.

Saranan sama diberikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menasihati anggota sayap parti itu berlapang dada dan menerima apa juga keputusan pimpinan.

Malah perang psikologi oleh Exco Armada Nasional, Muzzammil Ismail terhadap Ahmad Zahid apabila mengatakan sangat mengaibkan seorang presiden parti boleh ‘diarahkan tutup mulut’ untuk tidak mengumumkan calon atas desakan MCA, turut menguatkan desas-desus ini.

Kenyataan Muzzammil itu disifatkan oleh Exco Pemuda UMNO, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris sebagai sengaja mahu mewujudkan perbalahan dan situasi tidak selesa dalam pimpinan BN.

“Dakwaan ini adalah tidak rasional dan hanya bertujuan untuk menimbulkan perbalahan dalam BN. Tiada isu tentang siapa calon BN di PRK Tanjung Piai, sama ada dari UMNO atau parti komponen lain itu adalah keputusan kepemimpinan tertinggi dan PH tidak layak mempersoalkannya,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, tidak timbul isu terpaksa mengikut rentak MCA yang cuma mempunyai satu kerusi parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Seluruh jentera dan akar umbi BN perlu bersedia dan bersatu padu memenangkan calon BN di Tanjung Piai tidak kira dari mana parti komponen sekali pun selaras dengan semangat Muafakat Nasional yang didukung selama ini,” jelasnya.

Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kerusi tersebut.

Hakikatnya, siapa juga calon yang bakal dipertaruhkan oleh BN kali ini, ia akan terkait dengan kerjasama bersama Pas dan parti-parti komponen lain seiring dengan Piagam Muafakat Nasional yang telah dimeterai bulan lalu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button