Uncategorized

Bintang K-pop dikritik kerana bergambar mesra dengan patung berpakaian seperti tentera Nazi

Baru-baru ini, seorang penyanyi Korea Selatan mencetuskan kontroversi kerana memuatnaik gambar bersama patung yang berpakaian seperti tentera Nazi di laman Instagram miliknya.

Gambar itu menunjukkan Sowon, ahli kumpulan GFriend, membuat gaya memeluk patung berkenaan dan diambil sewaktu mereka sedang merakam video di sebuah kafe pada November lalu.

Dalam satu kenyataan dari Source Music, Sowon bagaimanapun telah memohon maaf melalui pihak pengurusannya dan memadam gambar berkenaan selepas dia menyedari “makna” di sebalik gambar berkenaan.

Source Music juga memohon maaf kerana tidak menyedari tentang patung di kafe itu yang berpakaian seperti tentera Nazi dan mengatakan kakitangan yang bertugas tidak menyedari bahawa ada isu dengan pakaian patung berkenaan semasa mereka melakukan pemeriksaan di lokasi pada hari penggambaraan.

“Kami memohon maaf kerana tidak dapat memeriksa terlebih dahulu bahawa ada prop yang tidak sesuai di lokasi penggambaran dan tidak melakukan pemeriksaan secara terperinci sewaktu proses rakaman dijalankan.

“Kami juga memohon maaf kerana memuatnaik konten seperti itu di media sosial dan tidak memberi perhatian sepenuhnya kepada isu-isu sosial dan fakta-fakta sejarah”, kata syarikat pengurusan Sowon dalam satu kenyataan.

Ekoran dari kejadian itu, Sowon yang mempunyai lebih 800,00 pengikut di laman Instagram menerima kritikan hebat dari para pangikutnya.

“Tentera Nazi bukanlah seperti kawan atau seseorang yang anda boleh peluk dengan mesra, mereka adalah pembunuh, mereka membunuh 6 juta orang Yahudi, 1.5 juta adalah kanak-kanak”, kata seorang pengguna Twitter yang mengecam Tindakan Sowon.

Manakala seorang lagi peminat bintang K-pop itu yang berasal dari Poland pula berkata, dia sedih dan terluka melihat artis kegemarannya bergambar seperti itu.

“Sebagai seorang peminat, saya betul-betul terluka melihat anda bergambar dengan tentera Nazi. Nenek saya maut dibunuh di kem tentera Nazi, ayah saudara saya pula berperang dengan mereka. Saya tidak peduli anda tahu atau tidak, tapi apa yang anda lakukan adalah tidak betul”, katanya.

Namun, ada juga yang mempertahankan Sowon dengan mengatakan mungkin penyanyi ini tidak tahu signifikan gambar berkenaan.

“Cuba berfikir secara positif, mungkin Sowon tidak tahu mengenai sejarah Nazi, lebih-lebih lagi dia pergi ke sekolah seni, jadi dia tidak tahu banyak mengenai sejarah. Tapi, saya berharap Sowon dan ahli kumpulan lain memohon maaf”, katanya.

Ada juga yang meninggalkan komen mengatakan yang rata-rata rakyat Korea tidak tahu kerana mereka tidak diajarkan di sekolah, melainkan jika mereka meminati sejarah dunia.

Ini merupakan kali kedua isu seperti ini berlaku dikalangan bintang K-pop selepas kumpulan BTS mencetuskan kontroversi kerana bergambar memakai topi dengan lencana Nazi pada tahun 2014.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button