Bintai Kinden teroka peluang di Timur Tengah
BINTAI Kinden Corporation Berhad (Bintai Kinden), menerusi anak syarikatnya Johnson Medical International (JMI) memeterai kerjasama menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan mekanikal dan kejuruteraan (M&E) kepada industri penjagaan kesihatan Arab Saudi dan pengembangan masa depan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Di bawah penerokaan kerjasama itu JMI menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Medical Renewable Care Company (MRC) atau di bawah nama dagangannya yang dikenali sebagai (Nouveta) untuk meneroka kerjasama UAE.
Pengarah Eksekutif Bintai Kinden ,Azri Azerai berkata, MoU ini memberi rangka kerja untuk meneroka dalam istilah yang lebih konkrit bagaimana JMI dan Nouveta boleh bekerjasama lebih jauh di Arab Saudi dan UAE serta memanfaatkan peluang yang boleh didapati di negara-negara ini.
“Sebagai langkah pertama, kami ingin melantik Nouveta sebagai pengedar JMI di Arab Saudi dan kedua, kami akan mengkaji lebih lanjut mengenai daya maju komersial dalam menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan M&E di Dubai dan seluruh UAE yang mungkin merangkumi pasaran yang lebih luas daripada hanya hospital dan farmasi. Kami berharap dapat memperluas lagi kerjasama dengan MRC.” katanya di sini hari ini.
JMI pakar dalam reka bentuk, pembuatan dan pemasangan peralatan sistem sokongan hospital yang direka khusus dan penyediaan perkhidmatan rumah jagaan.
Nouveta, yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi, menyediakan produk dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan kepada doktor, hospital dan farmasi.
Pengurus Besar Nouveta Ali Salem Alsubai berkata, pihaknya mengharapkan hubungan yang membuahkan hasil dengan JMI dan Bintai Kinden.
“Kami percaya ada peluang untuk kami memanfaatkan dan berkembang bersama.” katanya lagi.