BIMB taja RM 207,600 laksana program Pelita Budiman UPSI
Kuala Lumpur , 24 Dis 2024- Bank Islam Malaysia Berhad [BIMB] bersetuju menaja kohort kedua Program Pelita Budiman, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Majlis penyerahan sumbangan berjumlah RM 207,600 itu diadakan sempena Majlis Jalinan Kasih Sodaqa House Bank Islam di Menara Bank Islam hari ini yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Mohd Muazzam Mohamed kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Abdul Rahim bin Razalli yang mewakili UPSI.
Hadir sama Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi [FPE], Prof Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor; Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen,Zakat,Khairat & Sedekah (WEZAS), Prof Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abdul Latif; , Pengarah Pusat Keusahawanan & Kebolehpasaran Graduan (EDGE) dan Prof Madya Dr Sharul Effendy Janudin, serta Pengarah Bahagian Korektif, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, KP Hafiz Othman.
Menurut Prof Abdul Rahim program dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia (JPM) itu membabitkan pelajar yang sedang menjalani hukuman di Penjara di Kluang.
Beliau berkata Diploma Keusahawanan atau “Pelita Suluh Budiman” mendapat Akreditasi Penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bermula 7 April 2015 dan bermula apabila Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dengan kerjasama Sekolah Integriti Kluang, Johor dan JPM menzahirkan hasrat untuk menawarkan program peluang kedua kepada prospek yang berpotensi dalam bidang akademik.
Katanya, pada tahun 2008, kerajaan memperkenalkan pelaksanaan “Sekolah dalam Penjara” (Sekolah Integriti) dalam institusi penjara Malaysia yang menyaksikan usaha sama antara JPM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilancarkan secara berfasa dan mengikut zon.
Tahun demi tahun dan sehingga ke hari ini, calon-calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dalam Sekolah Integriti di seluruh negara dilaporkan berjaya meraih keputusan memberangsangkan.
Prof Abdul Rahim berkata penyediaan pelbagai peluang program pemulihan prospek berunsurkan pendidikan (educative rehabilitation) yang berterusan dan terancang kemas diyakini mempengaruhi perkembangan potensi golongan prospek muda untuk kekal berdaya tahan demi membuang sebarang niat mahupun perlakuan jenayah sepanjang dalam tempoh institusi dan juga selepas pembebasan mereka.
“Mereka boleh bertindak sebagai alternatif dinamik dalam memacu langkah progresif pihak institusi untuk terus mengiktiraf yang setiap banduan ada fungsi dan keupayaan tersendiri ke arah mengubah kadar residivis negara, malah usaha ini perlu bermula dari dalam institusi lagi,” katanya.
Seramai 20 pelajar dari kalangan prospek muda program Diploma Keusahawanan PSB kohort pertama tahun 2022-2024 berjaya bergraduat sempena majlis Konvokesyen UPSI pada 30 November lalu.
“Kejayaan kohort pertama mendorong kepada kesinambungan untuk meneruskan pelaksanaan kohort yang kedua dengan kerjasama antara UPSI dan JPM, “ katanya.
Memenuhi prinsip pendidikan terangkum dengan menyediakan peluang pendidikan kedua kepada golongan prospek muda bagi merapatkan jurang kesaksamaan dalam memperoleh akses pendidikan tanpa sebarang batasan (borderless education), program itu juga dapat meningkatkan tahap keinsafan agar kembali pulih dan bersedia untuk berperanan sebagai warga biasa yang lain dalam segala aspek kehidupan sebaik menamatkan pengajian.
Program Pelita Budiman, katanya, menyalurkan pelbagai pendedahan ilmu dan pengalaman hidup berguna kepada golongan prospek muda melalui penawaran program diploma selaku ahli masyarakat yang kekal berfikiran positif, matang dan bersifat mandiri selain memperluas jaringan akademik dan jalinan komuniti antara UPSI dan pihak industri khususnya JPM serta institusi pendidikan lain.
Beliau berkata kejayaan program sebelum ini juga dibantu dengan pembiayaan kos pengurusan sepenuhnya melalui dana zakat yang diterima dan diuruskan oleh Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat & Sedekah (WEZAS) UPSI
Sempena majlis BIMB turut menyampaikan tajaan bagi program Keusahawan Pelajar UPSI [UPSI-Preneur @BIMB Sauq] berjumlah RM11,200 yang diyakini boleh merancakkan program-program keusahawanan dalam kalangan pelajar UPSI.