Bila Dr Mahathir tanya Anwar…alahai! sudah gaharu cendana pula
BOLEH pula bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta pihak media bertanya balik kepada Datuk Seri Anwar apa masalah presiden PKR itu dengannya.
Hai, sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.
Bukan sudah berulang kali Dr. Mahathir berjanji Anwar akan menjadi PM ke-8 kah? Sudah beberapa pertemuan atau kunjungan hormat dilakukan Anwar kepada bekas pengerusi Parti BERSATU itu dalam tempoh 22 bulan Pakatan Harapan memerintah dan bila bercakap kemudian kepada pihak, terpancar di wajah Anwar keterujaan dan kegembiraan beliau.
Sayangnya, janji tinggal janji. Sehinggakan selepas Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai PM ke-7 dan mahu kembali lagi seperti biasa untuk menduduki jawatan PM ke-9 pun, sepatah haram tidak disebut Anwar bakal diangkat PM ke-9 andai takdir menyebelahi beliau. Minta maaf kepada Anwar kerana memungkiri janjinya, lagi lah – kosong.
Ya, di atas kertas, sepatutnya ‘dayung sudah di tangan, perahu sudah di air’.
Andai benar tulenlah isi perjanjian peralihan dari PM ke-7 ke PM ke-8 yang cukup tempoh dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14, ketika itu bermakna cuma enam bulan sahaja lagi memasuki 9 Mei 2020 untuk Anwar melangkah masuk Putrajaya.
Tetapi malangnya, Dr. Mahathir secara tiba-tiba meletak jawatan PM Februari lalu walaupun Agong meminta difikirkan keputusan tersebut.
Ia sekali gus menamatkan ‘tempoh perjanjian’ peralihan PM ke-8 itu. Macam-macam alasan waktu itu, kononnya peralihan pimpinan akan akan dilakukan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November ini.
Tapi, seluruh rakyat Malaysia maklum isu ini.
Sudah menjadi rahsia umum pertentangan dan hubungan antara Dr. Mahathir dan Anwar berlangsung penuh suspens. Epik.
Sebelum 1997 lagi, gandingan Dr. Mahathir dan Anwar masing-masing selaku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Mereka tak ubah macam ‘isi dengan kuku’.
Benar! Dr. Mahathir senang dengan Anwar semenjak beliau memasuki UMNO lagi pada 1982. Bimbingannya untuk menjadikan Anwar sebagai pengganti terang lagi bersuluh kepada semua terutama buat Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Anwar selalu berada dalam Kabinet dalaman Mahathir.
Bagaimanapun pemecatan Anwar pada 1998 mengakibatkan titik mula orang Melayu berpecah-belah dengan terbahagi kepada kem-kem tertentu. Demonstrasi jalanan dan reformasi serta fitnah-memfitnah menjadi tular dari mulut ke mulut sebelum kritikal dengan kedatangan laman sosial.
Selepas 18 tahun berlalu, Dr. Mahathir akhirnya berjabat tangan dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 September 2016. Permusuhan dinoktahkan.
“Beliau (Dr. Mahathir) sudah berubah dan komited terhadap agenda reformasi,” kata Anwar.
Gandingan Dr. Mahathir-Anwar serta parti-parti DAP, PKR, Bersatu dan Amanah dengan Dr. Mahathir selaku Pengerusi Bersatu menerusi strategi yang tersusun bersekali hembusan ‘tsunami rakyat’ akhirnya menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak dalam PRU-14.
Anwar pasti sekali menyedari sejarah kariernya dalam politik yang di ‘boost’ dari tahun 1982 hingga 1997 tidak lagi sama macam sekarang. Beliau yang muda baru berkeris masuk UMNO pada 1982 melalui loncatan tingkap, bukan menerusi pintu biasa.
Selama 16 tahun diasuh oleh pucuk pimpinan UMNO waktu itu, meloncat dari satu tahap ke tahap yang lain hingga sampai menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, tetapi ‘tersadung’ pada 1998, hanya selangkah ke pangkalan.
Begitupun, Anwar semestinya tidak boleh disalahkan sekiranya beliau melayani keinginannya menjadi Perdana Menteri kerana itulah andai benar persetujuan dua tahun dalam rundingan asal kepemimpinan PH bersama Dr. Mahathir.
Dan Anwar sudah 11 tahun dalam penjara yang tentu sekali merasakan usianya tidak tertanggung lagi untuk melangkah masuk ke Putrajaya.
Lagipun adalah logik Anwar yang kini Presiden PKR beranggapan begitu pada pasca PRU-14 kerana PKR merupakan pemilik kerusi Parlimen terbanyak 50 kerusi berbanding hanya 26 milik Bersatu – selain jentera PKR di bawahnya lebih cekap walaupun di sesetengah negeri, DAP mengatasi PKR.
Waima apa pun, jawapan muktamad mengapa Dr. Mahathir enggan menyerahkan jawatan PM-8 kepada Anwar ada pada negarawan itu.
Ini sepadan dengan lirik lagu kegemaran Perdana Menteri, My Way nyanyian Frank Sinatra. Sesiapa yang faham, mengenali karektor Dr. Mahathir, tentu akur beliau akan terus berpegang pada prinsip – lakukan ikut cara saya seperti mana bait-bait lirik lagu itu, ‘I did it my way’.
Dan Anwar pun sudah dua kali mengungkapkan perkataan que sera sera – “apa yang terjadi, terjadilah”. Pendek kata, ‘Masa hadapan di luar kawalan”.
Cuma, walau apa lagu untuk menginspirasi, baik My Way atau que sera sera kah (dendangan Doris Day), kita sebagai insan kerdil di atas muka bumi Allah SWT ini cukup insaf bahawa dalam lapangan politik – jangan dilupai nasib, jatuh bangun dalam politik adalah kehendak dan ketentuan-Nya.
Tiada sesuatu dalam politik yang kekal. Kawan boleh jadi lawan dan lawan boleh jadi kawan.
Yang kekal hanya isu dan perjuangan. Yang dicari dan dipilih ialah perjuangan yang sentiasa mengenal diri.
Justeru bila Dr Mahathir semalam berkata “setahu saya, saya tiada masalah dengan Anwar. Mungkin dia ada masalah dengan saya. Itu saya tidak tahu”, maka Belang pun tidak terkata apa dah.
Pasrah dengan karektor Dr Mahathir.