Biawak 20kg gemparkan seorang pesara kerajaan
Biawak sepanjang dua meter ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Alor Gajah, Melaka di dalam reban ayam di Kampung Tanjung Rimau Dalam, di sini, semalam.
Reptilia seberat 20 kilogram itu ditangkap selepas memakan telur ayam milik pesara kerajaan, Roslan Abu Hasan.
Menurut Roslan, 62, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pada mulanya dia menyangkakan bunyi bising dari rebannya itu disebabkan kehadiran kera dari belukar berdekatan.
“Ketika berehat di dalam rumah saya terdengar bunyi bising dan ayam berketak dengan kuat.
“Tidak sedap hati saya pergi memeriksa dan terkejut melihat biawak besar seperti komodo memakan telur ayam yang sedang dieram.
“Biawak itu sangat agresif melipas ekornya menyebabkan saya tidak berani untuk menangkapnya sendiri dan saya terpaksa menelefon APM (Angkatan Pertahanan Awam),” katanya dihubungi di sini.
Roslan berkata, sebelum ini dia pernah menangkap biawak bersaiz lebih kecil yang memasuki rebannya.
“Rakan saya yang berbangsa India juga tidak berani untuk menangkap biawak itu melihatkan saiznya yang sangat besar,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 4.00 petang memaklumkan terdapat seekor biawak memasuki reban.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 4.30 petang, biawak itu didapati ‘melawan’ dengan melibas ekornya hingga mengenai tiang kayu di dalam reban dan berdarah.
“Selepas hampir 20 minit biawak itu berjaya ditangkap menggunakan alat penjerut,” katanya.
Beliau menambah reptilia itu dibawa ke pejabat APM di sini sebelum dilepaskan ke habitat asal. – SM