Nasional

Lebih ramai mangsa banjir dipindahkan di Langkawi

12 orang lagi dipindahkan hari ini berikutan jumlah mangsa banjir di pulau itu meningkat daripada 49 orang semalam kepada 61 orang setakat 8.30 pagi hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi, Ahmad Shahfikri Darus berkata mangsa terbaru adalah dari Kampung Bohor Masjid yang dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air berikutan hujan berterusan.

“Ini menjadikan jumlah mangsa banjir yang berteduh di pusat pemindahan banjir (PPS) Dewan Syifa di Padang Matsirat seramai 61 orang daripada 17 keluarga.

“Semua mangsa yang dipindahkan adalah dari Kampung Atas, Limbung Putra, Buluh Pemppit, Bukit Kemboja dan Bohor Masjid,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Ahad, Langkawi dilanda hujan lebat berterusan dan angin kencang yang mencetuskan banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang.

Shahfikri berkata terdapat sedikit hujan di pulau itu pagi ini dan cuaca diramalkan bertambah baik pada sebelah petang.

Beliau meminta orang ramai menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah Langkawi di talian 04-9611474 untuk kes kecemasan banjir, pokok tumbang dan tanah runtuh.

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button