Politik

Bersatu sertai Muafakat Nasional, teras politik nasional yang stabil

PERSETUJUAN Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional memungkinkan Muafakat Nasional menjadi teras politik nasional yang stabil berasaskan kepelbagaian kaum, fahaman dan agama.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata, penyatuan tersebut akan melengkapkan kerangka penyatuan dan perpaduan orang Melayu.

Beliau turut memanjatkan kesyukuran atas pengumuman Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin awal pagi tadi bahawa Bersatu telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional, sebuah gabungan UMNO dan PAS, yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

“Syukur Alhamdulillah… Muafakat Nasional membawa berkat. Masa terbaik ummah disatupadukan. Tolak politik benci dan tolak politik pecah belah… kita berpadu barulah kita memerintah… khidmat untuk semua kaum dan bangsa,” katanya menerusi ciapan Twitter hari ini.

Perdana Menteri dalam perutusan sempena persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian Bersatu 2020 yang dimuat naik melalui sebuah video di laman Facebooknya berkata penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Sementara itu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemasukan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional akan di putuskan oleh Jawatankuasa Muafakat Nasional (MN), berhubung penyertaan Bersatu dalam gabungan UMNO-PAS itu.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyerahkan seluruhnya kepada jawatankuasa tersebut  berhubung penyertaan Bersatu dalam gabungan UMNO-Pas itu.

“Jawatankuasa ini telah mengambil jalan terbaik untuk memurnikan keadaan atas rasa perkongsian politik.

“Mudah-mudahan ini akan memberikan keberhasilan yang optimum, apabila Pilihan Raya Umum diadakan,” katanya selepas melancarkan Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Trolak hari ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button