Luar Negara

COVID-19: Singapura lapor 81 kes baharu termasuk 16 kes import

SINGAPURA hari ini melaporkan 81 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan 16 daripadanya adalah kes import, menjadikan jumlah keseluruhan 55,661 kes.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura di sini, 10 daripada kes import adalah dari kapal yang tiba di Singapura pada 8 Ogos.

“Sebelum dibawa ke hospital, semua anak kapal belum turun dari kapal,” jelasnya.

Menurut MOH, kes import yang lain telah diletakkan di bawah notis kuarantin di rumah (SHN) sejurus tiba di Singapura.

Bagi kes komuniti, tiga kes dilaporkan melibatkan dua warga tempatan atau penduduk tetap dan satu pemegang pas kerja.

Menurut kementerian berkenaan, sebahagian besar kes hari ini adalah pemegang permit kerja yang kini dalam kuarantin.

Dalam data penuhnya yang dikeluarkan pada lewat Jumaat, MOH memaklumkan terdapat kira-kira 21,300 pekerja yang masih menjalani tempoh kuarantin.

Sehingga tengah hari semalam, republik itu telah mengklasifikasikan 784 kes yang dilaporkan sebagai import, 2,201 sebagai kes komuniti dan 52,595 sebagai penghuni asrama.

Seramai 51,049 pesakit atau kira-kira 92 peratus daripada jumlah kes terkumpul telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan keluar dari hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

Sebanyak 79 kes positif masih dirawat di hospital tetapi tidak ada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sebanyak 4,425 pesakit yang mengalami gejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, Singapura mencatatkan 27 kematian akibat COVID-19.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam manakala enam kluster lagi telah ditutup. – BERNAMA

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button