Politik

Bersatu serah notis berhenti serta-merta kepada enam wakil rakyat

PARTI Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyerahkan notis terhenti serta-merta keahlian parti kepada enam wakil rakyatnya.

Keenam-enam mereka diberikan notis itu kerana didakwa melakukan ketidakpatuhan di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu selaras dengan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang bermesyuarat pada 7 Jun lalu dan telah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat semalam.
Selain itu, keahlian Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman pula telah terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.6 Perlembagaan Bersatu dan notis terhenti secara serta-merta keahlian telah dihantar kepada beliau pada 17 Mei, menurut Hamzah.
“Kesemua proses ini telah dilakukan dengan menepati lunas perlembagaan parti dan perundangan negara sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan/atau di bawah undang-undang kerajaan negeri yang berkenaan,” kata dalam satu kenyataan hari ini (Rabu).
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Selain Suhaili, enam lagi wakil rakyat terlibat adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button