Bersatu Kelantan cadang pucuk pimpinan tertinggi tidak ditandingi
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan mencadangkan jawatan pucuk pimpinan tertinggi parti itu tidak ditandingi bagi kepentingan parti pada pemilihan yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara pada mesyuarat yang diadakan minggu lepas.
“Pimpinan tertinggi itu membabitkan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir,“ katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Bersatu dari beberapa negeri seperti Terengganu yang mahukan jawatan pucuk tertinggi parti itu tiada pertandingan.
Kamaruddin berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan memandangkan parti itu masih baharu dan memerlukan kestabilan dalam parti, mengukuh perpaduan serta menambahkan bilangan keahlian.
“Jika ada pertandingan dibimbangi hasrat itu tidak akan dicapai,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Pusat (MPT).
Mesyuarat cawangan Bersatu dijadual diadakan pada 15 Feb hingga 29 Mac, disusuli mesyuarat peringkat bahagian pada 18 April. Perhimpunan agung Bersatu pula ditetapkan dari 25 sehingga 28 Jun. – BERNAMA