Rencana

#BenderaPutih simbol kegagalan sebagai jiran, pemimpin

Dalam tempoh 24 jam lebih 44 ribu ciapan dengan tanda pagar #benderaputih dilakukan oleh rakyat Malaysia di Twitter.

Malah Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dalam hantaran di Facebooknya turut berkongsi rumah memasang bendera putih.

Steven berkata, pemilih rumah bernama Ah Soon hampir bunuh diri selepas berputus asa meminta pertolongan. Akhirnya Ah Soon memasang bendera putih.

“Bendera putih berlatarkan Bukit Mertajam. Sayu. Ah Soon yang pasang bendera sudah putus asa. Dalam sebak, dia bagitau saya dia sebenarnya telah buat keputusan nak pergi ke jambatan Pulau Pinang untuk menamatkan nyawanya.

“Dia sudah letih minta tolong merata tempat tapi tiada yang datang menolong,” kata Steven Lim.

Ramai yang berasa bangga dengan kempen ini malah ada jiran yang tanpa segan-silu meminta jirannya yang lain untuk mengibarkan bendera putih jika memerlukan bantuan.

Ada juga ahli jawatankuasa penduduk yang turut menyemarakkan kempen ini dengan meminta penduduk di kawasan kejiranannya mengibarkan bendera putih jika memerlukan pertolongan.

Malah ada wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya turut tanpa segan silu meminta penduduk di kawasannya untuk mengibarkan bendera putih jika mahukan bantuan dan pertolongan.

Ya, dalam zaman kita memiliki telefon canggih dan boleh berhubung melalui panggilan video kita telah meminta masyarakat menggunakan kaedah sebegitu untuk meminta bantuan.

Dalam zaman kita boleh berkomunikasi secara ramai dalam kumpulan Whatsapp, Telegram, kita telah meminta jiran kita, rakyat yang mengundi kita untuk mengibarkan bendera putih di depan rumah mereka supaya bantuan boleh diberikan kepada mereka.

Tidakkah kita berasa malu dengan diri sendiri meminta jiran kita dan rakyat yang mengundi kita, yang memerlukan bantuan mengibarkan bendera putih di hadapan rumah mereka?

Kenapa kita tidak minta sahaja mereka membuat isyarat asap sekiranya mahukan bantuan.

Zaman dahulu ketika telefon belum dicipta, sebelum kediaman dibina rapat-rapat seperti sekarang, ketika majlis perwakilan penduduk dan jawatankuasa belum wujud, sebelum konsep wakil rakyat ada, asap telah digunakan oleh mereka yang mahukan pertolongan.

Ya, mereka menggunakan asap untuk meminta bantuan dan pertolongan kerana pada zaman itu masyarakat duduk terpisah, tinggal berjauhan untuk meminta pertolangan daripada jiran. Mereka tidak mempunyai alat telekomunikasi untuk berhubung.

Memasang bendera putih adalah simbol kegagalan masyarakat untuk berhubung dengan jiran masing-masing. Gagal untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Gagal untuk menolong pada saat diperlukan.

Seperti Ah Soon yang diceritakan oleh Steven Lim, dia telah letih minta tolong merata tempat tapi tiada yang datang menolong. Dia hampir membunuh diri dan akhirnya dia terpaksa mengibarkan bendera putih.

Bendera putih adalah simbol kegagalan ahli majlis perwakilan penduduk, ahli majlis jawatankuasa kampung, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen untuk berkomunikasi dengan masyarakat setempat. Mereka gagal mengambil tahu kesukaran yang dihadapi oleh rakyat.

Bendera putih bukanlah semata-mata simbol kelaparan, putus asa golongan yang memerlukan bantuan, yang terhimpit dengan desakan hidup, tetapi simbol kegagalan kita dalam hidup bermasyarakat.

Simbol kegagalan kita untuk berkomunikasi sebagai jiran, simbol kegagalan kita sebagai pemimpin setempat dan wakil rakyat untuk berkomunikasi menggunakan mulut.

Dalam cerita Steven Lim, bendera putih adalah simbol kegagalan masyarakat, pemimpin untuk membantu pada saat diperlukan.

Kepada yang memerlukan bantuan, jika anda mempunyai jiran, pemimpin setempat dan wakil rakyat yang pekak dan tidak mengambil tahu, kibarkan bendera putih di hadapan rumah anda tanpa rasa malu. Anda berhak melakukannya. Mungkin akhirnya suara anda didengar.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button