Beluran berlaku gempa bumi kecil
GEMPA bumi lemah bermagnitud 3.2 pada skala Richter dilaporkan berlaku di Beluran, Sabah pada 6.55 petang tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku pada kedalaman 10 kilometer (km), kira-kira 42 km Tenggara dari Pitas.
Gegaran mungkin dirasai di sekitar Beluran.
“Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut jabatan itu.
Kejadian gempa bumi ini bukan kali pertama berlaku di Sabah kerana sebelum ini telah berlaku beberapa siri kejadian itu.
Walaupun hanya pada skala yang kecil tetapi ia semakin kerap berlaku seolah-olah memberi amaran bahawa negeri itu kemungkinan terancam dengan kejadian bencana alam itu.
Pada 30 Jun lalu, Kudat dilanda gempa bumi, gempa bumi sederhana berukuran 4.7 pada skala Richter berlaku pada pukul 9.58 pagi.
Pusat gegaran terletak pada koordinat 6.92 darjah utara dan 116.37 timur dengan kedalaman 629 kilometer (km), kira-kira 47 km barat Kudat.
Pada 19 Mac lalu satu gempa bumi lemah bermagnitud 2.6 skala Richter dikesan di Kundasang, pada jam 10.25 pagi.
Pusat gempa bumi itu terletak di 6.0 Utara dan 116.5 timur pada kedalaman 10 kilometer (km) berpusat di 18 kilometer barat dari Ranau.