Hiburan

“Bella tidak terlibat dalam keputusan ini”-penganjur konsert Sumandak

PENYANYI terkenal, Stacy Anam, baru-baru ini membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyertai konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku. Susulan itu, pihak penganjur, Orange International Entertainment, tampil memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.

Menurut Pengarah Orange International Entertainment, Datuk Mohd Fazli Idrus, pihaknya mengakui bahawa terdapat kesilapan berkaitan poster promosi konsert yang menyebabkan keputusan Stacy untuk menarik diri.

“Kami mengakui kesilapan itu datang daripada pihak kami. Tidak ada niat untuk membandingkan atau merendahkan mana-mana artis yang terlibat dalam konsert ini. Setiap mereka mempunyai kelebihan dan pencapaian hebat masing-masing,” jelas Datuk Mohd Fazli.

Beliau turut menyatakan bahawa sebelum ini, mereka telah menganjurkan konsert dengan konsep poster yang serupa tanpa sebarang masalah. Namun, kali ini mereka belajar dari pengalaman dan akan lebih berhati-hati untuk memastikan tidak ada pihak yang terasa hati.

“Kesilapan ini berlaku kerana kesuntukan masa. Stacy hanya bersetuju untuk terlibat dua hari sebelum sidang media pengumuman konsert,” tambahnya.

Poster asal pada mulanya meletakkan Stacy sebagai bintang utama, namun pada saat akhir, pasukan kreatif memasukkan gambarnya di bahagian belakang kerana kekangan masa selepas Stacy memberikan persetujuan. Bahagian kreatif juga tidak begitu arif tentang pencapaian artis-artis yang terlibat, menyebabkan poster tersebut digunakan untuk tujuan promosi tanpa perubahan lanjut.

“Kami sebenarnya boleh membuat perubahan mengikut kehendak artis, tiada masalah untuk kami. Kesilapan ini adalah sepenuhnya tanggungjawab kami,” katanya lagi.

Datuk Mohd Fazli turut menegaskan bahawa Bella Astillah tidak sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini, kerana keputusan tersebut dibuat sepenuhnya oleh pihak penganjur.

“Bella tidak terlibat dalam keputusan ini. Dia juga sibuk dengan komitmen seninya, dan dia hanya mengikut apa yang kami putuskan. Tidak ada sebarang unsur mempengaruhinya,” katanya.

Beliau berharap agar isu ini tidak berlarutan sehingga merosakkan hubungan antara artis, kerana industri hiburan yang kecil memerlukan semua pihak menjaga hubungan baik.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button