Nasional

Belanjawan 2021: Ada dua lagi jerangkap samar

Oleh Ruhanie Ahmad

1. Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021menerusi kaedah undi “suara ramai” pada 26.11.2020.

2. Rakyat bergembira dengan kelulusan Belanjawan tersebut kerana dua sebab khusus.

3. Pertama, Belanjawan 2021 ini memang lebih menumpu kepada ussha membela kehidupan rakyat yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19 yang menyerang Malaysia dan dunia sejak akhir tahun 2019.

4. Kedua, kelulusan Belanjawan 2021 ini juga mencerminkan keabsahan (legitimacy) kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

5. Namun masih ada DUA LAGI peringkat, halangan atau JERANGKAP SAMAR yang perlu diatasi sebelum Belanjawan 2021 diluluskan secara mutlak dan hakiki.

6. Ini kerana Belanjawan Negara juga dikenali sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan. Kelulusan sesuatu RUU perlu melalui tiga proses khusus.

7. Proses pertama, bacaan kali pertama untuk perbahasan dan kelulusan di peringkat dasar seperti yang berlaku semalam (26.11.2020).

7. Proses kedua, perbahasan di peringkat jawatankuasa atau peringkat kementerian serta agensinya mulai 30.11.2020 sampai 16.12.2020.

7. Di peringkat ini setiap Menteri akan bertanggungjawab terhadap kelulusan belanjawan masing-masing.

8. Di peringkat ini Ahli Parlimen (AP) akan berpeluang memperincikan setiap ringgit dan sen wang yang diperuntukkan kepada sesuatu kementerian dan agensinya.

9. Di peringkat ini, AP tidak diizinkan oleh Peraturan Mesyuarat untuk berbahas secara dasar. Speaker – atau dalam konteks ini dipanggil Pengerusi – mempunyai kuasa undang-undang untuk menghalang AP yang timbulkan soal dasar.

10. Namun di peringkat ini, AP boleh cadangkan sesuatu peruntukan itu ditolak, dikurangkan atau ditambah peruntukannya. Dalam Belanjawan 2021, peruntukan untuk JASA bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, contohnya, mungkin berhadapan masalah ini.

11. Oleh itu, setiap Menteri dan pegawainya mesti siapsiaga akan kemungkinan seperti ini untuk elakkan perkara tidak diingini.

12. Di peringkat ini, perbelanjaan diluluskan ikut “kepala”, judul atau butiran perbelanjaan. Maksudnya, setiap butiran perbelanjaan perlu diluluskan secara undi, lazimnya ikut kaedah suara ramai.

13. Bagi Belanjawan 2021, masalah boleh timbul di peringkat ini. Jika AP kerajaan tidak berada dalam Dewan pada setiap masa, AP pembangkang mungkin akan gunakan peluang ini untuk tolak peruntukan sesuatu kementerian, baik ikut undi suara ramai atau belahbahagian. Maka AP kerajaan perlu insafi hakikat ini.

14. Setelah tamat peringkat jawatankuasa, RUU atau Belanjawan 2021 ini akan dibaca untuk kali ketiga dan di undi buat kali terakhir untuk dilulus atau ditolak secara muktamad dan hakiki. Ini dilakukan oleh YM Menteri Kewangan.

15. Pengundian ini boleh dilakukan ikut dua kaedah. Satu, ikut kaedah “suara ramai” di mana Speaker akan memutuskannya ikut suara teramai yang “setuju” atau “tidak”. Kaedah ini dilaksanakan sewaktu Bajet 2021 diluluskan di peringkat dasar.

16. Satu lagi kaedah ialah pengundian ikut cara “belahbahagian” atau undi ikut nama Kawasan Parlimen. Dalam bahasa mudahnya, undi satu persatu. Pengira undi akan memanggil AP ikut nama kawasan, dan AP mesti jawap “setuju” atau “tidak” dengan jelas dan lantang.

17. Kaedah ini hanya digunakan bila cadangan mengenainya dapat sokongan minima 15 AP. Pembangkang cuba kaedah ini untuk luluskan Belanjawan 2021 peringkat dasar, tapi cuma 13 AP menyokongnya, lantas ditolak.

18. Akhir kata, Menteri dan AP kerajaan perlu peka kemungkinan JERANGKAP SAMAR di atas dan penyokong kerajaan pula perlu ingatkan AP masing-masing akan hakikat ini.

19. Mereka juga perlu tekan AP pembangkang supaya luluskan Belanjawan 2021 ini di peringkat bacaan kali ketiga. Ini kerana AP pembangkang akan sentiasa cari kesilapan untuk menjatuhkan Kerajaan PN.

(Datuk Dr Ruhanie Ahmad adalah penganalisis keselamatan nasional, mantan AP Parit Sulong, Johor 1990-2004 dan mantan Pengerusi BBC BN)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button