BELANDA sedia memulangkan semula bahan peninggalan sejarah dan manuskrip ketika era penjajahan negara itu pada 1641-1824 jika ia benar menjadi milik Melaka.
Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner berkata, kerajaan Belanda sedia membantu Melaka untuk membawa pulang semula artifak tersebut ke negeri ini.
Menurutnya, pihaknya telah sedia maklum mengenai perkara tersebut dan sedang mengumpul maklumat terperinci berhubung perkara berkenaan.
“Jika sekiranya apa-apa barangan bersejarah milik Melaka yang telah diambil semasa era penjajahan Belanda kita sedia memulangkannya semula.
“Tetapi jika tinggalan sejarah itu milik mutlak Belanda ketika menjajah Melaka tetapi kita bersedia bekerjasama untuk membawanya ke sini untuk dipamerkan.
“Kita memerlukan masa untuk mendapatkan kebenaran daripada galeri swasta atau milik individu lain bagi membolehkan tinggalan sejarah penjajahan Belanda dibawa ke Melaka,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Bengkel Kelestarian Pameran Kolonial Belanda di Bangunan Stadthuys, Bandar Hilir di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Akramuddin Ab Aziz dan Pengurus Besar Perzim, Fadhilah Md. Salleh.
Bangunan Stadthuys dibina oleh Belanda pada tahun 1650 sebagai pejabat untuk gabenor dan timbalan gabenor.
Dalam pada itu Werner berkata, pihaknya akan membantu Melaka untuk mendapatkan lebih banyak bahan peninggalan sejarah dan manuskrip sewaktu era penjajahan negara itu untuk dipamerkan di Stadthuys di sini.
Katanya, beliau menyedari terdapat keinginan besar kerajaan negeri untuk mempunyai lebih banyak peninggalan sejarah dari Belanda untuk dipamerkan.
“Kita memerlukan masa untuk mendapatkan kebenaran daripada galeri swasta dan individu lain di Belanda bagi berkongsi minat agar koleksi mereka dapat dipamerkan di Melaka nanti.
“Saya sedia membantu cuba mendekati institusi dan juga individu di Belanda jika mereka sanggup menyerahkan peninggalan sejarah yang berada dalam simpanan untuk dipamerkan di sini,” katanya. – SM