Nasional

Bekalan makanan cukup, tak teruk hadapi inflasi

BUKU HIJAU yang pernah diperkenalkan dan menjadi ‘kitab’ kerajaan sekitar tahun 1970-an berjaya dalam pengeluaran makanan untuk rakyat negara ini. Malaysia suatu ketika dahulu mempunyai negeri jelapang padi yang menghasilkan beras untuk kegunaan rakyat atau local consumption.

Di tahun 70-an tidak timbul istilah, negara kita import makanan dari negara jiran seperti Thailand. Sama ada binatang ternakan ayam dan lembu, kita ada stok makanan kita sendiri.

Selepas habis era BUKU HIJAU, negara beralih kepada era yang lebih maju, tidak lagi konservatif dan ke arah negara membangun dengan bangunan pencakar langit.

Tinggal di kota metropolitan dengan lampu-lampu neon menjadi tarikan anak-anak meninggalkan kampung dan desa.

Tiada yang mahu mengerjakan bendang dan menternak lembu dan memelihara ayam. Bahkan yang jadi nelayan pun boleh dibilang dengan jari.

Tanpa disedari, perubahan masa dan zaman  menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian mempunyai kesan yang mana kita hari ini tidak mempunyai FOOD BANK atau Sekuriti Makanan yang menjamin keperluan rakyat kita sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif dan juga Sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berpendapat, Kerajaan perlu mengutamakan bekalan makanan mencukupi kerana ia dapat mengurangkan kesan inflasi.

Kerajaan negeri tidak harus berkompromi membina bangunan di atas tanah-tanah milik kerajaan negeri sebaliknya memperuntukkan tanah-tanah untuk pertanian.

Kata Sulaiman, kerajaan negeri harus menggalas tanggungjawab dengan memperuntukkan tanah-tanah untuk pertanian bagi menghasilkan makanan terutama yang sering diimport.

Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual bersama media di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sentral, minggu lepas.

Sulaiman juga merupakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam pertemuan tersebut, beliau turut berkata, bahan-bahan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp.) mesti lebih murah daripada bahan import.

Begitu juga dengan produk yang dihasilkan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar rakyat digalakkan membeli barangan keluaran tempatan dan yang dihasilkan sebagai alternative kepada pembelian barangan import.

Menyorot baru-baru ini diadakan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial anjuran Majlis Pemulihan Negara bersama Institut Masa Depan.

Di seminar tersebut, 12 kertas kerja penyelidikan yang merangkumi isu-isu penting dibentangkan.

Ini mencakupi kemiskinan situasi, pendidikan kumpulan B40, keterangkuman wilayah khususnya di Sabah dan Sarawak, model perusahaan sosial bagi PMKS, potensi ekonomi hijau dan jaminan bekalan makanan.

Dalam konteks pemulihan negara, seminar tersebut telah mengemukakan satu resolusi agar Kerajaan segera memulihkan negara melalui penekanan aspek keterangkuman sosial dan bermaruah (dignity).

Resolusi tersebut telah mengenal pasti 11 perkara yang perlu diberi tumpuan termasuk MEMACU SEKTOR PERNIAGAAN (business acceleration).

Memacu sektor perniagaan akan meningkatkan akses kepada geran dan pinjaman serta moratorium bersasar bagi mengatasi masalah aliran tunai.

Segera mengenal pasti pelaburan yang fokus kepada foreign direct investments (FDI) dan domestic direct investments (DDI) yang berteknologi dan produktiviti tinggi serta menawarkan pekerjaan dengan pendapatan tinggi kepada rakyat turut dibentangkan dalam seminar tersebut.

Majlis Pemulihan Negara (MPN) selaku badan penasihat Kerajaan berpendapat, suatu pendekatan yang holistik dan inklusif perlu diambil dalam memacu pemulihan negara serta memperkukuhkan aspek keterangkuman sosial (social inclusivity).

Strategi tumpuan MPN dalam proses pemulihan negara kini merangkumi isu kekurangan tenaga kerja, memacu sektor PMKS, mempercepatkan pemulihan proses pelancongan, memperkukuh tahap jaminan bekalan makanan, mengatasi segera isu keciciran pembelajaran serta impak perubahan iklim. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button