Nasionalpilihan

Bekalan air di Melaka mencukupi sehingga Jun

Bekalan air di Melaka masih terkawal dan mencukupi untuk kegunaan penduduk sehingga Jun ini walapun cuaca panas serta kemarau akibat fenomena El-Nino yang melanda negara ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, setakat ini tiada isu berkaitan bekalan air kerana paras air di tiga empangan utama adalah mencukupi.

Menurutnya, paras air di tiga empangan utama iaitu di Durian Tunggal, Alor Gajah, Empangan Jus dan Empangan Asahan di Daerah Jasin setakat ini masih di paras normal dan tidak kritikal.

Beliau berkata, paras air di Durian Tunggal ketika ini adalah sebanyak 80 peratus, Empangan Jus pula mencapai 95.7 peratus dan Empangan Asahan pula diparas 95.5 peratus.

“Saya yakin jika berlaku musim panas berpanjangan tiga empangan ini masih mampu bertahan sehingga Jun jika tidak ada hujan langsung.

Related Articles

“Setakat ini tiada catuan bekalan air akan dilaksanakan dan insyallah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri ini bekalan air adalah mencukupi.

“Cuma saya minta seluruh rakyat di Melaka berjimat cermat dalam penggunaan air perkara yang tidak perlu dilakukan menyebabkan pembaziran seperti cuci kereta dan cuci rumah dapat dielakkan,” ujarnya kepada pemberita selepas melawat Rumah Pam Sementara Kolam Alternatif di Tasik Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Ir. Norhisham Abu Talib dan Pengarah Badan Kawal Selia Air Melaka (BKSA), Azizul Adzran.

Mengulas lanjut Hameed Mytheen berkata, beliau turut meminta kerjasama daripada orang ramai jika ternampak paip bocor untuk terus melaporkan kepada pihak SAMB.

Mengulas tular di media sosial Facebook Orang Melaka yang membuat kenyataan kuantiti air di Tasik Ayer Keroh menurun beliau berkata, penyusutan air tasik berkenaan bukan disebabkan fenomena El-Nino.

Sebaliknya kata beliau, penyusutan itu akibat kerja-kerja pengepaman air mentah dijalankan SAMB bermula pada 4 Februari lalu hingga 8 Mac.

Menurutnya, air yang dipam masuk untuk meningkatkan paras air Sungai Melaka dengan kapasiti sebanyak 15 juta liter sehari.

“Kita telah hentikan kerja-kerja mengepam air setelah melihat penurunan mendadak paras tasik ini terlalu rendah,” katanya.

Tasik Ayer Keroh telah diwartakan di Bawah Seksyen 62(1) Kanun Tanah Negara 1965 sebagai sumber bekalan air mentah yang hanya digunakan ketika berlaku kekurangan hujan dan kemarau. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button