Nasionalpilihan

Bayi 58 hari mati tersedak susu

Seorang bayi perempuan berusia 58 hari meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah rumah pangsa di Taman Melaka Raya, di sini dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima daripada doktor Hospital Melaka kira-kira pukul 6.30 pagi sewaktu ibu mangsa menghantar sendiri anaknya dalam keadaan tidak
sedarkan diri.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bayi berkenaan adalah anak bongsu daripada lima beradik tidur bersama ibunya berusia 26 tahun.

“Ibu mangsa telah telah memberikan susu tepung dan selepas itu bayi itu diletakkan dalam keadaan terlentang di atas tilam.

“Namun kira-kira pukul 5.00 pagi ketika bangun untuk ke tandas, wanita itu mendapati anaknya berada dalam keadaan kaku sambil tertiarap sebelum membawanya ke Hospital Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata, doktor yang bertugas mengesahkan bayi berkenaan telah meninggal dunia kira-kira pukul 7.10 pagi tadi.

Katanya, walaupun bantuan CPR dilakukan selama 40 minit ke atas bayi itu tetapi gagal menyelamatkan nyawanya.

Jelasnya, hasil pemeriksaan fizikal pada badan mangsa mendapati tiada kesan lebam atau luka selain keputusan X-ray juga mendapati tiada kesan patah atau pendarahan dalaman.

Beliau berkata, mayat bayi itu telah dihantar ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button