Nasional

Bayaran tunai haji B40 RM12,356, M40 RM19,152

KADAR bayaran haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama tunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM12,356 manakala RM19,152 bagi kumpulan M40.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman, berkata kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji tahun ini pula meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lalu.

Lembaga Tabung Haji (TH) akan mula mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaah haji bagi tahun
1445H/2024M bermula pada hari ini.

Bakal haji perlu cukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.

TH juga akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji Bersasar untuk bakal haji Muassasah daripada kalangan B40 dan M40 pada tahun ini (1445H/2024M) walaupun terdapat peningkatan kos menunaikan ibadat haji.

Kos Haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji 1445H/2024M meningkat 8% kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun 1444H/2023M.

Sehubungan itu, kadar Bayaran Haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM12,356 seorang. Kadar ini telah mengambil kira keprihatinan Kerajaan Malaysia \terhadap bakal haji kumpulan B40 di mana Kerajaan akan menanggung sebanyak RM1,000 seorang.

Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan 1Kerajaan berjumlah RM20,944 seorang atau bersamaan dengan 63% daripada kos haji.

Bayaran Haji bagi bakal haji Muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang. Bakal haji kumpulan M40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148  seorang atau 42% dari kos keseluruhan kos haji.

Kumpulan T20 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu sebanyak RM33,300 seorang.

Perbelanjaan atau kos menunaikan haji meliputi seluruh rantaian perkhidmatan haji. Ini adalah termasuk penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di Tanah Air dan di Tanah Suci termasuk operasi masyair, pengangkutan, kos pengurusan kebajikan serta kesihatan jemaah haji, dan lain-lain kos operasi.

“TH turut terdedah kepada faktor-faktor di luar kawalan seperti peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah dan caj perkhidmatan di Tanah Suci,” kata Syed Hamadah.

Katanya, bagi Bakal Haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah, mereka perlu membayar penuh kos haji melainkan rayuan sebagai mahram kepada jemaah, rayuan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia atau pembantu kepada jemaah kurang upaya yang telah terpilih menunaikan
haji.

“Pada tahun 2023, seramai 500 orang jemaah telah menolak bantuan sama ada secara penuh atau  sebahagiannya, mencerminkan penghayatan kefahaman konsep istito’ah. TH berharap lebih ramai bakal jemaah kali ini akan menghayati konsep istito’ah dan semoga Allah SWT mengurniakan keberkatan dan mendapat haji yang mabrur,” kata Syed Hamadah.

“Istito’ah merupakan syarat wajib haji meliputi aspek kemampuan kewangan, kesihatan, keselamatan dan terpilih dalam kuota haji. Ini diperjelaskan melalui resolusi-resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang  menetapkan bakal jemaah haji bertanggungjawab atas perbelanjaan sebenar untuk menunaikan
haji.

“Dalam usaha mengawal peningkatan kos haji, TH juga telah memeterai perjanjian kontrak jangka panjang membabitkan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.

“Walaupun berlaku kenaikan kos haji, namun TH tetap mencari kaedah terbaik mengimbangi usaha memberikan perkhidmatan cemerlang demi kebajikan jemaah negara di samping mengekalkan kelestarian kedudukan kewangan,” ujarnya lagi.

Struktur bayaran haji ini, di mana jemaah haji golongan B40 dan M40 menikmati Bantuan Kewangan Haji sehingga 42% dan 60% daripada kos sebenar, akan memberi tekanan terhadap kedudukan kewangan TH.

Sejak 2001, TH telah membelanjakan sejumlah RM2.4 bilion bagi Bantuan Kewangan Haji dan dijangka akan membiayai kos sebanyak RM350.1 juta bagi musim haji 2024.

Berdasarkan kuota yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi, seramai 31,600 orang akan menerima surat tawaran haji berbanding dengan hampir empat (4) juta pendeposit TH yang telah mendaftar dan masih menunggu untuk  giliran haji.

Bagi pemilihan bakal haji, TH akan mengutamakan bakal haji yang berbaki pada tahun 1444H/2023 dan mereka yang giliran pada 1445H/2024. Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu
didahulukan. Rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI akan dibuka mulai 26 Januari 2024.  – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button