Nasional

Baucar buku MADANI Fasa 2 memperkasa pendidikan mahasiswa IPT

PROGRAM Baucar Buku MADANI Fasa 2 bernilai RM100 untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada mahasiswa di seluruh negara. Dilancarkan pada 29 Oktober 2024 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Zambry Abdul Kadir, program ini bertujuan menyokong keperluan akademik pelajar IPT dengan menyediakan akses mudah kepada bahan bacaan berkualiti. Keberkesanan inisiatif ini jelas terbukti melalui sambutan yang memberangsangkan.

Penebusan baucar dijalankan melalui platform rasmi MySiswaPlace, yang sejajar dengan visi YB Menteri Pendidikan Tinggi untuk menyediakan sebuah pusat sehenti digital bagi memudahkan pelajar mengakses pelbagai perkhidmatan. Program ini bukan sahaja mempercepatkan proses pembelajaran mahasiswa, tetapi turut memperkukuh ekosistem pendidikan di seluruh negara. Sejak pelancaran program, platform MySiswaPlace mencatatkan peningkatan trafik yang luar biasa, menggambarkan penerimaan yang tinggi daripada pelajar.

Data terkini menunjukkan hampir 500,000 baucar telah berjaya ditebus, dengan 60% daripadanya datang daripada pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 29% dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), dan 10% lagi dari pelajar di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Peningkatan kadar penebusan ini bukan sahaja menunjukkan kesedaran tinggi pelajar terhadap manfaat program ini, tetapi juga mencerminkan komitmen mereka dalam memanfaatkan inisiatif yang disediakan bagi meningkatkan kualiti pendidikan mereka.

Kejayaan ini turut disokong oleh lebih daripada 900,000 naskhah buku fizikal dan langganan e-buku yang berjaya dijual melalui platform MySiswaPlace. Program ini melibatkan kerjasama dengan lebih 300 syarikat penerbit, pengedar, dan penjual buku di seluruh negara. Koleksi bahan bacaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai genre dan bidang, termasuk buku akademik, bahan rujukan profesional, dan novel yang sesuai dengan keperluan pendidikan pelajar IPT.

Dengan sokongan meluas daripada komuniti penerbit dan pengedar, program ini bukan hanya menyediakan akses kepada bahan bacaan berkualiti, tetapi juga membantu memperkukuh industri penerbitan tempatan. Jumlah penjualan dijangka akan terus meningkat dengan signifikan, terutamanya menjelang tarikh akhir program penebusan baucar buku pada 31 Disember 2024. Permintaan yang tinggi daripada pelajar di seluruh negara membuktikan keberkesanan usaha ini dalam memudahkan akses kepada bahan bacaan serta menyokong perkembangan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa.

Pelajar IPT di seluruh negara masih berpeluang untuk menebus Baucar Buku MADANI Fasa 2 melalui portal rasmi MySiswaPlace di mysiswaplace.my sehingga 31 Disember 2024. Mahasiswa digalakkan untuk memanfaatkan peluang ini sebelum tarikh akhir yang semakin hampir.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button