HARGA ketum sudah jatuh di pasaran Thailand tapi kegiatan menyeludup keluar barang terlarang ini dari Malaysia masih berterusan.
Berikutan itu Wang Kelian yang dikenalpasti sebagai kawasan “hotspot” sentiasa diberikan pemerhatian lebih oleh Batalion 18, Pasukan Gerak Am (PGA).
Terbaharu pasukan ini berjaya menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira satu tan daun ketum di sebuah kebun getah di Wang Kelian pada kira-kira pukul 3 pagi semalam.
Pegawai Pemerintah, Batalion 18 PGA, Superitendan Ramli Wan Salin berkata, hasil rondaan pasukannya telah menemui longgokan daun ketum yang sedang dibungkus dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Kita tunggu selama sejam tetapi tiada sesiapa yang datang untuk mengambil,” katanya.
Sehubungan itu katanya, sebanyak 1, 015 kilogram daun ketum bernilai RM30,450.00 dirampas.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat.
Beliau berkata, pihaknya percaya daun ketum itu biasanya akan dibawa oleh sindiket atau “kader”.
Katanya, kader akan menggalas ketum yang diletakkan dalam guni dan kemudiannya berjalan kaki sejauh lima kilometer ke sempadan.
“Kita juga mengenalpasti banyak lubang-lubang tikus yang digunakan oleh kader ini bagi mengangkut ketum,” katanya.
Ramli berkata, biasanya masa menyeludup ketum ini dilakukan pada awal pagi.
Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. -SM