Nasional

Kilang tutup dua hari sebab ayam tidak cukup berat

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 19 Mei – Hanya sebuah kilang pengeluar ayam di Merlimau, Jasin, dilaporkan tutup selama dua hari
menyebabkan pengguna di negeri ini panik seketika hingga ada membeli ayam mentah dengan kuantiti yang
banyak.

Ada asasnya kilang terbabit telah menghantar notis kepada Kementerian Kementerian Dalam Negeri dan Hal
Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, untuk menutup pengeluaran selama dua hari bermula Sabtu dan Ahad ini
kerana menghadapi masalah ayam hidup yang diternak tidak cukup berat.

Malah ayam yang tidak cukup berat sekadar 1.1 kilogram (kg) sememangnya tidak sesuai untuk dijual kepada
pengguna.

Pengarah KDPNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, penutupan sebuah kilang pengeluar ayam di Merlimau, Jasin
bukan berpunca ekoran protes rasa tidak puas hati peladang apabila lambat diberikan subsidi oleh kerajaan
kata Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar.

Sebaliknya menurutnya, penutupan kilang tersebut disebabkan pihak terbabit menghadapi masalah tumbesaran ayam hidup sedia ada tidak sesuai untuk dijual di pasaran kerana tidak mencapai berat pada kadar
sepatutnya.

Beliau mengesahkan, KPDNHEP telah menerima notis daripada kilang terbabit yang memohon untuk menutup
kilang tersebut selama dua hari bermula Sabtu dan Ahad ini.

Sejurus menerima notis tersebut katanya, pihaknya telah pergi ke kilang tersebut dan melihat fizikal ayam
hidup yang diternak tidak cukup berat iaitu 1.1 kilogram (kg) dan kadar tersebut tidak sesuai untuk dijual.

“Dakwaan kononnya penutupan kilang itu adalah tindakan protes, itu memang tidak betul sama sekali. Keadaan
itu telah menimbulkan panik dalam kalangan pengguna yang membeli dengan kuantiti yang banyak.

“Sebenarnya, tidak timbul langsung isu kekurangan bekalan ayam mentah di negeri ini ekoran penutupan
sebuah kilang di negeri ini. Kilang itu ditutup kerana masalah tumbesaran ayam sebenarnya.

“Sehubungan itu, KPDNHEP telah diberi jaminan oleh kilang dan pengusaha lain di negeri ini bahawa bekalan
ayam adalah mencukupi untuk menampung permintaan pengguna di negeri ini,” ujarnya dalam sidang akhbar pada
program Pengguna Bestari Sentuhan Kasih, Aidilfitri di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna,
Ngwe Hee Sem.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan akhbar ini mendedahkan sekumpulan kartel industri ternakan ayam
didakwa merancang menutup ladang ternakan hujung minggu ini sebagai protes terhadap kerajaan yang
dikatakan lambat membayar subsidi harga ayam.

Ia susulan satu memo yang dikeluarkan oleh sebuah ladang ternakan di Merlimau, Jasin kepada pembekal yang
memaklumkan bekalan ayam akan dihentikan pada 21 hingga 22 Mei ini atas alasan ayam-ayam hidup di ladang
mereka tidak mencapai berat pada kadar sepatutnya.

Mengulas lanjut Norena meminta orang ramai tidak panik untuk membeli ayam mentah dalam kuantiti yang
banyak kerana bekalannya ada mencukupi untuk menampung permintaan pengguna di negeri ini.

“Kalau pengguna membeli dengan jumlah yang banyak ini akan menimbulkan kesusahan kepada pengguna lain
memandangkan hujung minggu ini banyak jamuan rumah terbuka Aidilfitri akan diadakan,” ujarnya.

 

(Visited 202 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button