Bola SepakSukan

Barcelona pecat Setien selepas kekalahan memalukan

QUIQUE Setien telah dipecat sebagai pengurus Barcelona.

Ketua Nou Camp bertindak demikian selepas kelab gergasi Sepanyol itu diaibkan berikutan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara, Sabtu lalu yang menyaksikan mereka dibelasah 8-2 oleh Bayern Munich pada suku akhir.

Pertandingan kelab elit Eropah itu merupakan satu-satunya peluang buat Setien menghadirkan senyuman kepada peminat Barca, selepas musim mereka dilanda dengan pelbagai isu di luar padang dan kegagalan memenangi La Liga.

Namun, Lionel Messi serta rakan sepasukan disingkirkan dengan cara yang memalukan, dan pengurus terpaksa membayar dengan harga yang cukup mahal ekoran kegagalan tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Barcelona, kelab itu memaklumkan: “Ahli Lembaga Pengarah telah bersetuju bahawa Quique Setien tidak lagi menyandang jawatan sebagai jurulatih pasukan utama.

“Ini merupakan keputusan pertama bagi pelaksanaan penstrukturan semula buat pasukan utama yang telah dipersetujui antara setiausaha teknikal dan jurulatih baharu, yang akan diumumkan dalam masa terdekat.”

Malah, sebelum perlawanan lagi masa depan Setien sebenarnya tidak terjamin dan kelab kini akan mencari arah tuju yang baharu, dengan Ronald Koeman, Xavi dan Mauricio Pochettino antara calon yang disebut-sebut untuk menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih.

Bekas pemain Barca, Koeman merupakan pilihan utama dan dijangka bakal meninggalkan Belanda untuk menerima tawaran tersebut.

Minggu lalu, bekas hero Nou Camp, Xavi menolak untuk membimbing kelab itu dalam masa terdekat ini.

Xavi menolak tawaran melatih bekas kelabnya itu pada Januari, sewaktu mereka memecat Ernesto Valverde, dan Setien kemudiannya dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

Bekas pemain Sepanyol itu terbabit dalam beberapa masalah dengan Presiden, Josep Maria Bartomeu, termasuk skandal melibatkan pengambilan firma pemantau media sosial dan perbalahan berhubung potongan gaji kelab yang diperkenalkan April lalu.

“Banyak sangat masalah di luar padang dan saya rasa sekarang bukan masanya. Pada Januari lalu, saya ada memberitahu mereka sekarang bukan masa yang tepat dan sejak itu, mereka tidak lagi menghubungi saya.

“Saya gembira dapat terus menimba pengalaman dan mencabar diri saya. Sudah tentu ia merupakan satu penghormatan buat saya jika satu hari nanti saya bergelar jurulatih Barca,” kata Xavi kepada majalah Icon. – Mirror UK -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button