Ekonomi

Barangan perubatan Hana Medic tembusi pasaran Myanmar

SYARIKAT Hana Medic Sdn. Bhd., pengeluar produk perubatan dan penjagaan kesihatan buatan Malaysia khusus dalam segmen kebersihan dan pencucian berkualiti tinggi yang dibekalkan ke hospital seluruh negara, bakal menembusi pasaran Myanmar pada tahun ini.

Pengasas syarikat, Prof. Dr. Norayati Abdul Majid berkata, Myanmar merupakan satu pasaran berpotensi kerana industri perubatan di negara berkenaan sangat memerlukan produk-produk penjagaan kebersihan dan pencucian untuk manfaat para pesakit dan pelanggannya.

Menurut beliau, perbincangan dengan pihak berkuasa di Myanmar pada peringkat awal telah dijalankan serta berjalan lancar.

“Pihak hospital di negara berkenaan berminat untuk meneruskan kerjasama pada suku pertama tahun ini dan  selepas ini, kami akan berkunjung ke hospital khusus untuk tenteranya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media di kilang syarikat di Nilai, baru-baru ini.

Syarikat bumiputera itu terlibat dalam tiga segmen produk iaitu peranti perubatan khusus untuk kegunaan hospital, Safer Care Plus Kids dan komersial.

Kejayaan terbesar syarikat yang mempunyai lebih daripada 100 produk unit simpanan stor (SKU) adalah sebagai syarikat perintis yang menghasilkan sanitizer tanpa kandungan alkohol.

Hana Medic mula terbabit dalam pengeluaran produk perubatan dengan pengenalan sanitiser tangan pada tahun 2015.

Ini ekoran penularan penyakit tangan kaki dan mulut yang memberi kesedaran betapa pentingnya masyarakat menjaga kebersihan tangan kerana disitulah punca utama penyakit berjangkit.

Norayati yang berpengalaman selama lebih 19 tahun  dan pernah berkhidmat di beberapa universiti terkemuka di negara ini melihat potensi bidang pengeluaran sanitiser yang tidak menggunakan alkohol tetapi hanya menggunakan sumber tempatan seperti tebu dan daun cofrey yang dijadikan ekstrak untuk menghasilkan sanitiser tangan bermutu tinggi.

“Produk kami dijamin 99.9 peratus dapat membasmi kuman ekoran kajian dan pembangunan yang teliti dijalankan selain membuat kaji selidik dengan melibatkan kira-kira 300 pekerja dalam bidang perubatan di hospital kerajaan tentang penggunaan sanitiser ini.

“Kebanyakan pekerja di dalam industri perubatan mengalami masalah tangan yang kering dan pecah, ini memudahkan jangkitan kepada orang terdekatnya khusus bagi ahli keluarga mereka, dengan menggunakan produk sanitiser pada peringkat ujian tersebut, lebih daripada 85 peratus, keputusan daripada penggunaan sanitiser itu membanggakan.

“Bermula di situ, saya mula menghantar cadangan untuk membekalkan produk tersebut di hospital di seluruh negara dan banyak yang memberi maklum balas yang baik, antara hospital yang terlibat ialah Hospital Selayang dan Slim River,” jelasnya.

Kini syarikat yang diterajui bekas Dekan Fakulti Sosial Sains Kesihatan Universiti Malaysia itu  mengembangkan perniagaannya bukan hanya tertumpu kepada segmen hospital yang kini meliputi 70 peratus daripada keseluruhan jualan syarikat tetapi bakinya memberi tumpuan kepada segmen komersial yang dipasarkan di pasar raya besar.

“Barangan penjagaan kesihatan yang boleh didapati pasar raya dihasilkan melalui kajian dan pembangunan yang teliti untuk pelanggan, ia turut melibatkan produk penjagaan kesihatan untuk kanak-kanak seperti pembersihan mainan si cilik,” jelasnya.

Sementara itu, Hana Medic turut terkenal dengan pengeluaran produk penjagaan kesihatan, JustGreat yang telah berada di pasaran sejak 12 tahun lalu.

Produk hasil kajian daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dengan melibatkan kos pembangunan keseluruhan bernilai RM2.5 juta itu telah berjaya menembusi pasaran luar negara khususnya dari Timur Tengah.

Hana Medic berjaya mendapat hak milik tunggal untuk JustGreat pada awal tahun 2018 dan produk itu merupakan jus buah-buahan campuran menggunakan durian belanda, mangga dan limau kasturi serta madu tulen merupakan jus yang kaya antioksidan tinggi hasil.

Produk itu telah meraih tiga anugerah antarabangsa (Anugerah Emas dan Anugerah Emas Berganda di British Invention Show (BIS) 2012 dan Anugerah Cemerlang dalam iENA 2013) dan pelbagai anugerah tempatan yang lain dalam kategori inovasi dan teknologi.

Hasil penyelidikan kandungan asid fenolik bebas (sejenis antioksidan) dalam JustGreat menunjukkan keputusan lebih tinggi berbanding pelbagai produk import dan tempatan.

“Kami menyasarkan jualan bagi produk ini mencecah kepada lebih 500,000 unit sepanjang tahun ini,” jelasnya.

Jumlah tersebut merupakan sasaran dua kali ganda jualan yang dicatat pada tahun lalu.

“Walaupun sudah menembusi pasaran antarabangsa, sehingga sekarang kami masih lagi menjalankan kajian terperinci mengenai sejauh mana produk JustGreat boleh menurunkan kadar gula dalam darah bagi pesakit diabetis,” terang beliau. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button