Jual perabot terpakai bayar seikhlas hati benar-benar mengejutkan pemiliknya, Kapten (B) Khairulnizam Kamis, 50, apabila 95 peratus barang bernilai antara RM200,000 hingga RM300,000 licin tidak sampai sehari jualan dibuka pada Selasa lalu.
Menurutnya, dia tidak sangka kedainya penuh sesak dengan orang ramai yang bukan sahaja datang dari seluruh pelosok negeri ini tetapi juga dari Johor, Kuala Lumpur dan Pahang.
Beliau berkata, keadaan menjadi sesak hingga tidak terkawal, pelanggan bertolak-tolak selain ada yang datang membawa lori turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di hadapan kompleks Pembangunan dan Jawatankuasa Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Lendu di pekan Masjid Tanah.
“Tujuan saya buat jualan ini adalah untuk mengosongkan kedai bagi tujuan baik pulih bumbung yang rosak dan bangunannya sekali.
“Kalau nak bawak barang perabot keluar memang payah dan mengambil masa. Jadi timbul idea jual semua barang perabot dan perlatan elektrik dengan harga bayar seikhlas hati.
“Memang tak sangka orang ramai berpusu-pusu datang ke kedai seperti orang tengok konsert Deep Purple,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Khairulnizam berkata, dia bercadang untuk buat jualan itu dalam tempoh enam hari bermula 25 Julai hingga 30 Julai.
Namun katanya, pada hari pertama sahaja hampir sebahagian besar perabot terpakai habis dijual hingga ruang kedainya kosong.
Menurutnya, dia membuat jualan berkenaan bagi membantu golongan yang memerlukan khususnya asnaf, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.
“Saya jual tak fikir untung kerana pelanggan bayar seikhlas hati dan berpatutan kerana niat saya untuk bantu mereka yang tidak berkemampuan,” katanya yang telah menjalankan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu.
Katanya, selepas bumbung kedainya dibaiki, dia akan meneruskan jualan perabot terpakai tetapi tidak pada harga Rahmah yang dilakukan Selasa lalu.
Jelasnya, berdasarkan sambutan yang mengalakkan dia bercadang untuk buat jualan itu setahun sekali mengikut keperluan. – SM