Barang dipesan dibalut dengan seluar dalam wanita
TULAR di media sosial apabila pesanan barang yang dihantar melalui khidmat hantaran cepat atau kurier dibalut dengan seluar dalam wanita.
Gambar kotak barang yang dibalut dengan seluar dalam itu dimuat naik oleh seorang wanita di Facebook melalui akaun Mamaayu Admia Ayunormaslinda.
Wanita itu memberitahu barangan itu dipesan dari Station 18 di Ipoh diterima suaminya kira-kira pukul 7 malam, semalam.
Ketika diterima katanya, kotak itu bukan sahaja kemek, terbuka dan tidak dibungkus malah disarung seluar dalam berwarna merah jambu.
“Pada mulanya suami tidak sedar yang itu adalah seluar dalam sebaliknya menyangkakan ia adalah stokin.
“Dia sempat bertanya kepada pekerja syarikat berkenaan, mengapa kotak pesanan itu dalam keadaan sedemikian namun mereka mendakwa tidak tahu sebaliknya ia memang diterima dalam keadaan itu,” kata seperti yang dipetik dari Utusan Online.
Selepas itu dia ada menghubungi penjual di Station 18 dan mereka memberitahu pesanan berkenaan dihantar ke Melaka dalam keadaan baik dan berbungkus.
“Sebagai pembeli, saya kecewa apabila menerima bungkusan yang dipesan dalam keadaan rosak tambahan lagi ia turut disarungkan dengan seluar dalam.
“Sehingga sekarang saya tidak faham mengapa pekerja syarikat itu tidak menanggalkan terlebih dahulu seluar dalam itu sebelum menghantar pesanan kepada kami? Tindakan mereka sangat keterlaluan,” katanya.