Bantuan: JKM Perlis berjaya kurangkan jurang ekonomi rakyat
ABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis telah berjaya mengurangkan jurang pendapatan dan ekonomi rakyat melalui bantuan yang telah disalurkan serta pelbagai peluang menjana pendapatan tanpa mengira kaum bagi menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.
Keseluruhan penerima bantuan kewangan bulanan aktif JKM adalah 9,151 kes melibatkan peruntukan sebanyak RM40 juta setahun.
JKM Perlis turut menyertai Program Kayuhan MAIPs Peduli yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Pada program ini juga diadakan saringan kesihatan, memberi sumbangan dan menyantuni asnaf serta beramah mesra bersama rakyat negeri ini yang diketuai sendiri oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Kolaborasi ini secara tidak langsung mewujudkan rangkaian kerjasama pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan serta pihak swasta di Perlis dalam usaha untuk sama-sama membantu para penerima bantuan, mengenalpasti keperluan atau masalah dan mencari kaedah penyelesaian yang bersesuaian.
Pengarah JKM Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa berkata, sebanyak 240 buah keluarga telah disantuni dari lawatan ke rumah oleh JKM melalui 80 Siri Program MAIPs Peduli pada tahun 2023 yang lalu.
Melalui program ini juga JKM berjaya menyenarai pendek mereka yang berkelayakan untuk diteruskan bantuan atau diberi kelulusan-kelulusan baharu.
Program yang berkonsepkan turun padang ini juga dapat mengenal pasti penerima bantuan sedia ada melalui kemaskini bantuan seperti permohonan yang tidak layak atau tidak menepati kriteria kelulusan bantuan yang ditetapkan.
“Saya juga ingin mempersembahkan ucapan tahniah dan menjunjung kasih kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs yang merupakan tunjang pengerak program Kayuhan MAIPs Peduli ini,” katanya.
Katanya, Baginda cakna menzahirkan komitmen tinggi dan berterusan serta sentiasa mengambil berat dan responsif perihal kebajikan rakyat khususnya golongan yang memerlukan di negeri ini.
Maklumat tersebut dikongsikan oleh Ku Chik selepas mengiringi Raja Muda ke Majlis Sumbangan Agihan Zakat MAIPs di Masjid Ali bin Abi Talib Perawah, Datuk Kayaman, Bukit Keteri.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada 70 asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Perawah dan 70 lagi dari kariah Ngulang.
Setiap penerima mendapat sumbangan wang tunai RM700 setiap seorang di mana kali ini perbelanjaan kesemuanya berjumlah RM98,000. – SM