Bantuan elektrik kepada rakyat: Najib balas Bee Yin
“Najib boleh tanya menteri tenaga UMNO dari manakah dana yang digunakan untuk memberi bantuan elektrik yang diumumkan setakat ini? Ia dari Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Tolonglah UMNO, jangan sibuk claim credit. Najib tak tahu kira? YBY sedia membantu.”
Begitulah pertanyaan yang dilontarkan oleh bekas Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pertanyaan itu dilontarkan oleh Bee Yin berikutan pengumuman Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah seolah-olah semua bantuan yang diberikan adalah jasa kerajaan Perikatan Nasional.
Menurut Bee Yin, bantuan yang disalurkan itu datangnya daripada KWIE. Jelas beliau, semasa menjadi menteri PH membuat keputusan untuk meningkatkan dana KWIE supaya ia boleh digunakan pada masa mencabar bagi menampung beban rakyat serta menstabilkan tarif elektrik.
“Sebelum perubahan kerajaan pada 1 Mac 2020 KWIE dianggar akan mencatat lebih daripada RM 1.5 bilion pada Jun. RM200 juta dari KWIE sedia ada dan RM 1.368 bilion dari anggaran hasil mekanisme Imbalance-Cost-Past-Through (ICPT) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk tempoh Januari ke Jun 2020.
“Dengan mengambil kira peruntukkan yang digunakan untuk menampung diskaun-diskaun yang telah diumumkan di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi Covid-19, dianggarkan lebih kurang RM 1 billion lagi dana KWIE yang boleh disalurkan. Angka ini bersamaan dengan jumlah yang dijangka untuk bantuan bil elektrik yang diumumkan oleh menteri,” kata Bee Yin.
Persoalan itu dibalas oleh Najib. menurut Ahli Parlimen Pekan itu, Tabung KWIE diwujudkan pada 1 Jan 2016 selepas Kerajaan Barisan Nasional meminda undang-undang Akta Bekalan elektrik pada tahun 2015.
“Tujuan utama Tabung KWIE ini memang untuk menguruskan impak tarif elektrik terhadap pengguna. Mekanisme ICPT dan IBR juga diperkenalkan oleh kerajaan BN masa saya PM untuk menstruktur semula tarif elektrik supaya lebih adil bagi pengguna selepas kita menyelesaikan masalah Penjana Elektrik Bebas (IPP) berat sebelah dengan penyertaan 1MDB pada tahun 2012.
“Soalan yang perlu tanya kepada Yeo Bee Yin ialah kenapa Tabung KWIE naik? Wang dari mana? Ianya kerana tarif elektrik tetap tinggi selepas PH menaikkan kadar beberapa kali selepas PRU14 walaupun kos bahan api menjunam ke paras paling rendah sejak 10 tahun yang lalu. Sebab itu, wang dalam KWIE naik,” balas Najib.
Menurut Najib, sejak April 2019 beliau telah beberapa kali bertanya mengapa kerajaan PH masih naikkan tarif elektrik walaupun kos kedua-dua bahan api utama iaitu arang batu dan gas menjunam.
“Bukan saya seorang yang tanya. Masa itu, industri pembuatan Malaysia juga tertanya-tanya kenapa kerajaan PH naikkan harga elektrik serta gas walaupun kos bahan api telah turun mendadak. Mereka tuntut untuk harga elektrik dan gas diturunkan.
“Sejak itu dan sehingga mereka tumbang, kerajaan PH tak pernah turunkan harga elektrik dan harga gas dengan ketara walaupun harga bahan api jatuh mendadak.
“Tanya Yeo dan PH sekali lagi: Kenapa tarif elektrik tidak pernah diturunkan dengan ketara di bawah PH selepas PH menaikkannya selepas PRU14 walaupun kos kedua-dua bahan api utama jatuh mendadak?” kata Najib.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meluluskan Bantuan PRIHATIN Elektrik Tambahan dalam kategori domestik di Semenanjung berjumlah RM942 juta bagi mengurangkan beban pengguna elektrik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pemberian bantuan itu diumumkan Shamsul Anuar.
Seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj, akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan di bawah Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan.
Bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik lebih 300kWj sebulan pula akan menerima potongan bil sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan bagi bulan April, Mei dan Jun 2020 dan bayaran itu juga akan dikreditkan semula dalam bil Julai.
Secara keseluruhan seramai 7.99 juta pengguna menikmati bantuan tersebut.-SM