Ekonomi

Bank Rakyat raih dua pengiktirafan antarabangsa atas komitmen kewangan tanggungjawab

BANK Rakyat terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila meraih dua pengiktirafan berprestij yang mengiktiraf komitmennya dalam menyokong komuniti serta memacu keterangkuman kewangan dan kelestarian alam sekitar.

Dalam acara berasingan yang berlangsung baru-baru ini, Bank Rakyat dinobatkan sebagai ‘Most Socially Responsible Bank’ di Anugerah Kewangan Antarabangsa Ke-12 yang berlangsung di Waldorf Astoria, Bangkok, Thailand. Selain itu, bank ini turut menerima anugerah ‘Best Environmental Excellence Award’ di 17th Annual Global CSR and ESG Awards 2025 di Ho Chi Minh City, Vietnam.

Bank Rakyat menerima pengiktirafan Best Environmental Excellence Award di 17th Annual Global CSR & ESG Awards 2025 yang berlangsung pada 26 Februari 2025 di Ho Chi Minh City, Vietnam. Naib Presiden Kanan, Strategi Runcit dan Pengurusan Cawangan Bank Rakyat, Encik Fatayal Anshori Abdussyukur (kanan), mewakili Bank Rakyat untuk menerima anugerah berkenaan.

Dalam satu kenyataan rasmi, Bank Rakyat menyatakan bahawa pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus melaksanakan inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat. Sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), bank ini percaya bahawa peranannya bukan sekadar menyediakan perkhidmatan kewangan, malah turut memainkan peranan penting dalam kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat.

“Kami bertekad untuk terus mengintegrasikan prinsip kemampanan dalam setiap aspek operasi dan strategi perniagaan Bank Rakyat. Kami juga akan memperhebat kerjasama dengan rakan strategik serta institusi lain bagi memastikan impak sosial yang lebih luas,” menurut kenyataan tersebut.

Sepanjang tahun ini, Bank Rakyat giat melaksanakan pelbagai inisiatif Jangkauan Komuniti, antaranya program Kebun Nuri Nutrisi yang memberi tumpuan kepada keperluan pemakanan komuniti serta inisiatif kesukarelawanan BaktiRAKYAT. Program-program ini menjadi agenda utama dalam usaha meningkatkan kebajikan masyarakat, khususnya bagi kumpulan yang kurang mendapat perhatian (unserved dan underserved).

Dengan pengiktirafan ini, Bank Rakyat terus membuktikan komitmennya dalam menerajui sektor perbankan yang bertanggungjawab serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan alam sekitar.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button