Bank Rakyat perkenal inisiatif perbankan digital baharu menerusi aplikasi i-MerchantRAKYAT
BANK RAKYAT kini memperkenalkan aplikasi i-MerchantRAKYAT yang dilengkapi dengan QR DuitNow sebagai kemudahan khusus untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi bagi membolehkan penerimaan bayaran melalui kod QR bermula pada 31 Oktober 2023.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman, aplikasi ini disediakan khususnya bagi pemilik tunggal perniagaan atau organisasi yang mempunyai Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i) Bank Rakyat yang aktif bagi memantapkan pengurusan perniagaan dan kewangan agar lebih efisien.
“Kelebihan aplikasi i-MerchantRAKYAT ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa, mesra pelanggan dan boleh digunakan di mana-mana sahaja, malah mampu meningkatkan produktiviti perniagaan, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan tunai oleh usahawan.”
“Kemudahan aplikasi ini juga mampu memberi alternatif pengurusan perniagaan yang lebih sistematik dan tanpa kertas seperti e-penyata dan laporan transaksi dalam talian. Penyata yang dijana menerusi i-MerchantRAKYAT boleh digunakan untuk permohonan pembiayaan dan geran perniagaan bagi membantu memperkembangkan perniagaan,” tambah beliau.
Peningkatan terhadap penggunaan kemudahan e-bayaran dalam kalangan masyarakat juga menjadi salah satu faktor pendorong Bank Rakyat untuk merealisasikan inisiatif ini kepada PMKS.
“Pengenalan perbankan digital baharu ini amat bersesuaian dengan kehendak situasi pada masa kini serta penerapan norma baharu apabila segalanya di hujung jari pelanggan. Seiring dengan era digitalisasi, Bank Rakyat sentiasa progresif dalam memanfaatkan teknologi bagi memastikan kita terus kekal relevan dan lestari,” katanya.
Inisiatif ini dikatakan selaras dengan aspirasi Rangka Tindakan Digitalisasi dan Pengalaman Pelanggan Terbaik yang terkandung dalam pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25). Bank Rakyat sentiasa komited dalam menyediakan platform digital yang dapat menawarkan produk dan perkhidmatan Bank bersesuaian dengan keperluan pelanggan masa kini.
Di samping itu, usaha Bank Rakyat menerusi inisiatif ini juga bertepatan dengan nilai Malaysia Madani, yakni kemampanan dan daya cipta bagi mencapai aspirasi pendigitalan Bank menerusi tawaran produk digital yang lebih mantap serta kondusif, di samping meningkatkan pengalaman pelanggan yang disokong oleh sistem perbankan Islam bersepadu yang dibina berasaskan teknologi moden.
Bagi membuat permohonan pendaftaran i-MerchantRAKYAT, usahawan perlu membuka Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i) di cawangan berdekatan, Pusat Perbankan Perniagaan atau platform QR2E, kemudian memuat turun aplikasi tersebut di platform Apple App Store (IOS 11.0 dan ke atas) atau Google Play Store (Android 9.0 dan ke atas). Usahawan akan mendapat respons status permohonan dalam masa 24 jam; tertakluk pada dokumen yang lengkap.
Untuk maklumat lanjut berhubung i-MerchantRAKYAT, sila hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454 atau layari laman web www.bankrakyat.com.my atau kunjungi cawangan yang berdekatan. – SM
Artikel berkaitan > Bank Rakyat komited perluas perkhidmatan kewangan melalui tiga kerjasama strategik