Bank Rakyat, KPM anjur Pertandingan Bicara Berirama dan Choral Speaking Nuri MADANI 2023 Peringkat Kebangsaan
BANK RAKYAT dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Pertandingan Bicara Berirama dan Choral Speaking Nuri MADANI 2023 Peringkat Kebangsaan bagi menyemarakkan sambutan Minggu Perpaduan Negara Tahun 2023.
Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, program ini merupakan penganjuran kali ketiga oleh Bank Rakyat yang mana sebelum ini pernah diadakan pada tahun 2018 dan 2019. Menurut beliau, program kali ini menyaksikan penyertaan seramai 440 murid daripada 20 buah sekolah.
Pertandingan sebegini merupakan saluran terbaik bagi mendedahkan murid dengan kemahiran bahasa, sekali gus menuntut mereka meningkatkan keyakinan untuk berkomunikasi, sejajar dengan aspirasi Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
“Inisiatif ini secara tidak langsung memperkukuhkan komitmen Bank Rakyat sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang menyokong penuh aspirasi KPM dalam mencapai kemenjadian murid serta mewujudkan gagasan Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC) bagi membina murid yang berdisiplin dan bersahsiah tinggi,” ujar Datuk Mohd Irwan.
Pada masa yang sama, Bank Rakyat giat mempromosikan inisiatif Sekolah Tanpa Tunai bagi menyokong aspirasi Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memberikan penekanan tentang kepentingan celik kewangan bagi menjamin kelestarian sumber kewangan individu, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat terutamanya dalam kalangan murid.
Inisiatif ini melambangkan keprihatinan Bank Rakyat sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang cakna terhadap kesejahteraan dan kemampanan murid serta institusi pendidikan negara secara menyeluruh bertepatan dengan nilai Malaysia Madani.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, pertandingan ini bukan sekadar satu acara biasa, tetapi merupakan satu wadah atau platform yang membawa gagasan kepada pendidikan negara yang cemerlang, didukung oleh generasi muda yang penuh berbakat, gigih dan berdaya saing.
“Saya percaya bahawa nilai kepelbagaian dan kebersamaan yang ditanamkan dalam diri setiap peserta akan menjadi asas kepada pembentukan generasi muda yang bukan sahaja berjaya secara akademik, tetapi juga memiliki kepekaan sosial dan kebijaksanaan emosi, sekali gus membangunkan bakat berkemahiran tinggi yang menepati permintaan industri, di samping meningkatkan kebolehpasaran mereka” tambah Dato’ Dr. Mohammad Hanis.
Pertandingan ini menyaksikan Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Jaya muncul sebagai johan Choral Speaking bagi kategori sekolah rendah yang mana turut merangkul kemenangan bagi Konduktor Terbaik dan Skrip Terbaik. Tempat kedua pula dimenangi SK Putrajaya Presint 17 (1) manakala tempat ketiga, SK Convent (1) Bukit Nanas.
Pertandingan Choral Speaking bagi kategori sekolah menengah pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama yang dinobatkan sebagai johan dan turut memenangi kategori Skrip Terbaik. Tempat kedua pula dimenangi oleh Sekolah Sains (SM) Muzaffar Shah yang turut membawa gelaran Konduktor Terbaik dan diikuti tempat ketiga, SMK Manjalara.
Sementara itu, bagi Bicara Berirama kategori sekolah rendah pula, johan dimenangi oleh SK Sungai Bedaun, tempat kedua pula dimenangi oleh SK Felcra Bukit Kepong yang turut memenangi gelaran Konduktor Terbaik dan diikuti tempat ketiga dimenangi oleh SK Bangi. Manakala kategori Skrip Terbaik Bicara Berirama kategori sekolah rendah pula dimenangi oleh SK Tun Syed Ahmad Shahabudin.
Bagi Bicara Berirama kategori sekolah menengah pula, johan dimenangi oleh SMK Agama Kota Kinabalu, tempat kedua pula dimenangi oleh SMK Kai Chung dan diikuti tempat ketiga oleh SMK Jelapang Jaya. Manakala, bagi Skrip Terbaik Bicara Berirama kategori sekolah menengah dimenangi oleh SM Agama Al-Maarif dan Konduktor Terbaik pula dirangkul oleh SMK Kota Masai.
Di samping itu, Bank Rakyat baru-baru ini turut menganjurkan Karnival Nuri MADANI 2023 Peringkat Negeri di enam lokasi iaitu di negeri Johor, Pulau Pinang, Kelantan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Sarawak dengan penglibatan hampir 12,000 murid daripada 70 buah sekolah pada awal September hingga 2 Disember yang lalu.
Penganjuran program ini adalah untuk memupuk semangat perpaduan dan menarik minat murid menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan termasuk Nuri Teenpreneurship, sesi bual bicara Madani, perlawanan bola sepak, bola jaring dan pertandingan memasak bagi memberi peluang kepada anak-anak muda ini untuk menyerlahkan potensi masing-masing.
Selain itu, Bank Rakyat juga menawarkan promosi khusus untuk menghargai para pendidik menerusi Program Cuti-Cuti Cikgu anjuran KPM. Mereka yang layak berpeluang untuk menikmati promosi Kad Kredit-i dengan kadar keuntungan antara terendah di pasaran iaitu lapan peratus setahun serta pelbagai diskaun istimewa lain apabila berbelanja dengan rakan dagang Bank Rakyat.
Untuk maklumat lanjut berhubung Program Cuti-Cuti Cikgu, sila hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1-300-80-5454 atau layari laman web www.bankrakyat.com.my atau kunjungi cawangan yang berdekatan. – SM
Artikel berkaitan > Kelab Nuri Bank Rakyat perluas platform media sosial