SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan badan eksekutif di negara ini sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran undang-undang.
Baginda bertitah, kebebasan badan kehakiman memerlukan sokongan, dokongan, kefahaman dan iltizam daripada semua pihak terutama badan eksekutif.
“Beta meminta semua pihak berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan badan kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran negara,” titahnya dalam kenyataan akhbar baginda yang disiarkan di Facebook Selangor Royal Office di sini pada Isnin.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda mengikuti rapat dan mengambil perhatian terhadap perkembangan isu-isu berkaitan dengan sistem pentadbiran keadilan negara sejak kebelakangan ini.
Titah baginda, rakyat perlu sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman yang merupakan teras serta paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan diamalkan di negara ini.
“Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan martabat institusi kehakiman di satu tahap yang tinggi sebagai sebuah badan kehakiman bebas dan berwibawa.
“Badan kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” titah baginda.
Baginda bertitah, rakyat perlu mengambil maklum bahawa hakim mahkamah Persekutuan, mahkamah rayuan dan mahkamah tinggi adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Menurut baginda, Perdana Menteri sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan lantikan seseorang hakim hendaklah terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Negara dan perlu mendapat pengesyoran daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
“Proses lantikan seseorang hakim perlu melalui proses yang teliti dan ini menunjukkan badan kehakiman berbeza dengan institusi-institusi kerajaan lain dan menggambarkan betapa pentingnya peranan badan kehakiman di dalam sistem pemerintahan negara.
“Kebebasan kehakiman membawa pengertian bahawa hakim yang mengadili sesuatu kes dapat mentafsirkan undang-undang bersandarkan semata-mata kepada fakta dan keterangan tanpa rasa takut, pilih kasih dan bebas dari sebarang pengaruh yang tidak diingini,” titah baginda.
Tegas baginda, seorang hakim telah mengangkat sumpah untuk mengamalkan kesamarataan, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan serta bebas dari segala bentuk tekanan dalaman dan luaran.
Justeru, baginda bertitah, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang.
“Pepatah ada menyatakan bahawa apabila seseorang hakim membuat sesuatu keputusan ia hendaklah diputuskan atas dasar ‘without fear or favour’,” ujar baginda.
Menurut Sultan Sharafuddin, penghakiman dibuat tanpa sebarang bentuk desakan atau pengaruh menggambarkan satu bentuk sistem pentadbiran keadilan yang adil dan saksama.
Ujar baginda, setiap rakyat di negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada badan kehakiman atas sesuatu kes yang diadili.
“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik badan kehakiman agar ia tidak tercemar dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan,” titahnya.
Sehubungan itu, titah baginda, semua pihak perlu berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan badan kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.
Sultan Sharafuddin bertitah, rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.
“Sebarang tohmahan yang tidak berasas ini akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara,” titah baginda.
“Keadaan ini juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa,” titahnya.
Baginda turut menzahirkan sokongan padu terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 September lalu berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.
“Rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya,” titah baginda.