Hiburan

Azmi Caliph Buskers pernah gadai barangan kemas isteri kerana hidup susah

PERNAH menggadaikan barangan kemas isteri semata-mata untuk dijadikan wang pendahuluan bagi menyewa rumah baharu.

Itu yang pernah dialami Azmi Caliph Buskers atau nama sebenarnya Azmi Saat sewaktu tempoh permulaan dia dan isterinya berumah tangga.

Menurut Azmi yang bakal meraikan ulang tahun ke 10 perkahwinannya bulan hadapan, segala perit getir kehidupan itu masih kekal di ingatan sehingga kini.

“Pada awal perkahwinan iaitu dalam tempoh dua ke tiga tahun, isteri banyak bantu. Apatah lagi dia adalah penjawat awam dan mempunyai gaji tetap.

“Isteri juga pernah bergolok gadai dengan menggadaikan barangan kemas termasuk terpaksa menjual hantaran perkahwinan berupa gelang emas. Sebab kami nak buat duit pendahuluan pindah rumah sewa baharu.

“Jadi, apabila saya sudah ada sedikit duit, barulah saya belikan gelang baharu sebagai ganti dan berikan dia duit untuk tebus semula barangan kemas yang digadai,” katanya.

Walaupun tidak sesempurna insan lain, Azmi dan isteri tetap bahagia dalam melayari bantera perkahwinan mereka.

Malah sama seperti pasangan lain, Azmi juga pernah membuat kejutan istimewa kepada isteri dengan menghadiahkan bunga dan barangan kemas.

“Isteri saya suka bunga, jadi saya belikan bunga. Saya pernah buat kejutan dengan belikan barang kemas.

“Ketika itu saya masih bekerja sebagai tukang urut dengan pendapatan mencecah RM1,000 sebulan. Jadi, adalah lebih duit sikit,” katanya.

Apa yang pasti juga, kekurangan yang dimiliki bersama pasangan tidak menjadikan mereka kufur nikmat sebaliknya berasakan diberikan kelebihan lain oleh Allah SWT.

“Walaupun dalam keadaan begini, saya tidak berasa ia satu kekurangan atau susah pun. Kalau diberi peluang nak pasangan normal atau macam saya, saya nak yang sama macam saya.

“Sebab kami saling memahami selain mengetahui kekuatan dan kekurangan masing-masing. Kalau kahwin dengan isteri normal, saya pasti tak dapat membantu dan menjaganya.

“Sebab dia kena buat semua sediri malah perlu menguruskan saya pula. Jadi, apabila dapat yang sama, kami buat bersama-sama. Dalam erti kata lain susah dan senang kami bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi turut tampil dengan lagu baharu berjudul Tulus yang ditujukan khas buat isterinya.

Jelasnya, lagu tersebut adalah karya pertama yang diciptanya sekitar tahun 2008 dan akhirnya berjaya disiapkan.

Lagu yang diterbitkan Universal Music Malaysia dan Valient Music itu boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button