Nasional

Kes Covid-19 meningkat dan banjir, tarikh pembukaan sekolah perlu dikaji semula

ANGKA jangkitan Covid-19 dalam negara yang mencecah angka sehingga 3,000 kes sehari yang diumumkan semalam benar-benar mengejutkan ramai pihak.

Malah, rakyat juga menerusi komen yang ditinggalkan di laman sosial meminta supaya kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jumlah kes yang tinggi itu juga membuatkan ibu bapa risau dengan sesi persekolahan yang sepatutnya dijadualkan bermula pada 20 Januari depan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, dia juga menerima beberapa keluhan daripada ibu bapa berkaitan kerisauan mereka.

“Ada beberapa faktor yang mencemaskan iaitu yang pertama ialah kes Covid-19 yang semakin naik secara mendadak.

“Kedua ialah faktor banjir yang dihadapi beberapa buah negeri dan ketiga ialah vaksin yang masih belum diperoleh sehingga kini.

“Semua faktor ini menimbulkan kerisauan ibu bapa untuk menghantar anak mereka dan sebab itu tarikh pembukaan sekolah perlu dinilai semula,” katanya ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Selain itu, Mohamad Ali turut mencadangkan supaya sekolah dibuka secara berperingkat dan keutamaan diberikan kepada pelajar yang bakal menghadapi peperisaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Jelasnya, keutamaan kepada pelajar yang lebih senior adalah kerana mereka lebih senang dikawal dan sudah pun matang.

“Golongan pelajar ini yang perlu diutamakan pelajaran mereka kerana bakal menghadapi peperiksaan yang penting.

“Bagi yang lebih muda, terutamanya melibatkan pelajar sekolah rendah, tahap imunisasi mereka masih rendah dan boleh menganggu kesihatan mereka,” katanya.

Selain itu, menurutnya, sistem penggiliran juga boleh dilakukan untuk mengelak kehadiran yang terlalu padat melibatkan pelajar di sekolah.

Sementara itu, bapa kepada empat orang anak, Aiman Borhannudin, 34, turut menyatakan rasa risau melihat kes Covid-19 dan tarikh pembukaan sekolah yang semakin dekat.

“Jumlah kes Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari sebenarnya telah membuatkan ramai ibu bapa trauma untuk membenarkan anak ke sekolah.

“Tambahan pula anak saya yang nombor dua mempunyai masalah asma dan perkara ini memerlukan pengawasan keselamatan yang rapi melibatkan pihak sekolah,” katanya.

Tambahnya, kajian semula pembukaan sesi persekolahan atau sistem penggiliran murid di sekolah perlu dilaksanakan supaya faktor kesihatan dan keselamatan terjaga. -SM

(Visited 297 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button