Nasional

Azhar letak jawatan Pengerusi SPR

DATUK Azhar Azizan Harun telah meletakkan jawatan sebagai Pegerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuat kuasa pada 29 Jun lalu.

SPR dalam satu kenyataan berkata, peletakan jawatan Azhar mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Jun.

Timbalan Pengerusi SPR Dr. Azmi Sharom akan memangku tugas-tugas Pengerusi SPR sehingga pelantikan pengerusi SPR yang baharu selaras Perkara 114(7) Perlembagaan Persekutuan.

“SPR mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Azhar Harun atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau sebagai Pengerusi SPR,” kata kenyataan tersebut.

Desas desus sebelum ini menyebut Azhar dan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said telah dicadangkan sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Melalui Aturan Mesyuarat dan Usul-Usul yang disebarkan di media sosial nama kedua-dua mereka diusulkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua mereka akan menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof dan Nga Kor Ming sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Nama Mohamad Ariff dan Kor Ming diusulkan untuk mengosongkan jawatan atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan yang mereka sandang.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button