Awie ketatkan SOP di rumah kerana bayinya
MENYAMBUT kelahiran bayinya yang ke enam minggu lalu, Awie mengakui dia cukup menjaga prosedur operasi standard (SOP) dirumahnya.
Menurut Awie atau nama sebenarnya, Datuk Ahmad Azhar Othman, dia bersyukur kerana bayi yang dilahirkan berada dalam keadaan yang sihat.
“Isteri saya, Sharifah Ladyana Syed Samsuddin sebelum ini perlu menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum boleh melahirkan.
“Saya juga ketika itu melakukan ujian saringan yang sama untuk bersama-sama isteri di hospital,” katanya baru-baru ini
Menurut Awie lagi, dia juga memastikan SOP di rumahnya sentiasa dipatuhi bagi mengelak jangkitan Covid-19.
Ujarnya, sewaktu di hospital, semua yang ingin memegang bayi tersebut perlu memakai cecair sanitasi dahulu.
“Saya gunakan pendekatan yang sama seperti di hospital bila berada di rumah. Kalau orang dewasa senang, bila dia sakit dia akan beritahu.
“Tetapi kalau bayi dia tak boleh bercakap. Jadi kita kena ambil langkah awal untuk memastikan semuanya bebas wabak tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Awie yang menyambut anak ke enam di usia 52 tahun mengakui yang dia perlu kekal cergas untuk menjaga anaknya.
Malah, ketika ini pun dia bersengkang mata sehingga pukul 4 pagi untuk menjaga bayinya itu.
“Alhamdullillah, usia melintas maghrib ni Allah kurniakan saya rezeki. Saya sendiri pun sebenarnya kena kekal cergas.
“Takut nanti kawan-kawan anak tanya pada anak saya, itu atuk kau ke?” katanya berseloroh. -SM