Nasional

ATM giat laksana transformasi ke arah pertahanan pelbagai dimensi, kepakaran bersepadu

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sedang giat melaksanakan transformasi angkatan ke arah sebuah angkatan masa hadapan yang berspektrum penuh bagi mencapai matlamat pertahanan komprehensif dengan mengambil pendekatan ‘Whole of Government And Whole Of Society’ dengan menyediakan satu struktur pertahanan yang terdiri dari pelbagai dimensi peranan dan kepakaran yang bersepadu.

“Semenjak mengambil alih jawatan sebagai Asisten Panglima, pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuklah penjajaran bahagian Pasukan Simpanan Tentera Darat kepada Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan Tentera Darat. Perubahan ini bakal menampilkan struktur yang lebih dinamik bagi menggalas tanggungjawab ‘Raise, Train and Maintain’ di dalam menyediakan warga angkatan simpanan yang terlatih dan berfokus selaras dengan matlamat kertas putih pertahanan negara”.

Demikian ucapan Asisten Panglima Pasukan Simpanan (AP PS) Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Abdul Rahman A Wahab di Majlis Santapan Tengahari sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Askar Wataniah (HUT AW) Ke-66 di Rejimen Askar Wataniah 504, Kem Bukit Keteri, Padang Besar.

Berangkat ke majlis tersebut ialah Pemangku Raja Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diiringi sama oleh Anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Haji Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi, dan Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia (AKS CSM), Mejar Jeneral Datuk Norsham Md Tap.

Asisten Panglima Pasukan Simpanan turut menyatakan bahawa peranan Angkatan Simpanan seharusnya dikembangkan dengan lebih luas. Peluang untuk menyertai latihan bersama Angkatan Tentera Asing sama ada di dalam dan luar negara akan dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi menggilap keupayaan angkatan simpanan sebagai satu angkatan yang terlatih dan bersedia dimobilisasikan bagi menghadapi sesuatu situasi di bawah ‘Call Out Order’ atau kerahan apabila diperlukan nanti.

Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berkenan untuk menyempurnakan acara memotong kek istimewa sempena sambutan hari ulangtahun Askar Wataniah dan pengurniaan Anugerah Rejimen Terbaik yang dimenangi oleh Rejimen 512 Askar Wataniah.

Terdahulu daripada itu Baginda diiringi Syed Sirajuddin Areeb Putra turut berkenan untuk mengadakan lawatan ke pusat tempat latihan Sirkit Merentas Halangan yang melibatkan halangan seperti tembok setinggi 6 kaki, ‘Monkey Rack’, ‘Net Crawl’ dan beberapa halangan lain termasuklah ‘Zip Lines’ yang disumbangkan oleh Datuk Sim Choo Kheng serta persembahan kawalan dan penggunaan Dron oleh Cyanocreek.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button