Atlet boling wanita harap dana kerajaan untuk ke jelajah PWBA
SKUAD boling wanita kebangsaan berhasrat meneruskan saingan untuk berhadapan pemain boling terbaik dunia pada Siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat.
Bagaimana pun mereka yang ingin menyertai siri jelajah itu terpaksa mengeluarkan wang mereka sendiri di antara RM25,000 hingga RM30,000 seorang jika kerajaan tidak berhasrat untuk memberikan dana buat tahun kedua berturut-turut.
Pemenang pingat emas Kejohanan Boling Sedunia 2017, Sin Li Jane yang akan menyertai siri jelajah itu buat kali kelima pada April ini berkata penyertaan luar skuad berkenaan sejak tahun 2016 banyak membantu kejayaan mereka pada peringkat dunia.
Li Jane berkata pemain boling yang menyertai jelajah itu sebelum ini diberikan dana sehingga tahun 2016 di bawah Program Podium, yang menyaksikan penguasaan pasukan boling wanita negara di peringkat dunia, dengan memenangi pelbagai gelaran dari Sukan SEA hingga Kejohanan Dunia.
“Kami berharap mendapat sokongan daripada kerajaan dan juga Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC). Seperti tahun lepas kami (Shalin Zulkifli, Esther Cheah dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman) mengeluarkan wang sendiri, tapi tahun ini perbelanjaan semakin meningkat jadi kami harap kerajaan akan membantu kami.
“Saya fikir kami perlu meneruskan penyertaan pada siri jelajah itu dan terus bersaing dengan atlet-atlet boling profesional wanita di sana berbanding hanya bersaing di Asia Tenggara… secara peribadi saya rasa ia tidak cukup jika kita mahu menguasai dunia.
“Mentaliti pemain boling di sana dan di sini sangat berbeza, di sana mereka lebih berdikari, mengenali produk (bola boling) mereka dengan baik sekali dan tahu menganalisanya sendiri. Jika tiada dana, kami terpaksa mengggunakan wang kami sendiri demi negara ini dan untuk lebih berdaya saing,” katanya kepada pemberita hari ini.
Atlet berusia 27 tahun ini akan memulakan penyertaan boling tahun ini pada Terbuka Malaysia ke-41 bermula 26 Mac hingga 4 April depan di Sunway Mega Lanes, manakala untuk kejohanan terbesar pada tahun ini yang akan disertainya tahun ini ialah Kejohanan Tenpin Boling Asia di Hong Kong dan Kejohanan Individu Dunia.– BERNAMA