Askar wataniah perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk galak pembabitan masyarakat
Untuk mengoptimumkan perkhidmatannya Rejimen Askar Wataniah perlu sentiasa berkolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan dan juga pihak swasta serta harus terus berafilasi dengan masyarakat luar terutamanya dalam perkara latihan.
Diharapkan semua pihak juga terus memainkan peranan dan mengambil bahagian dengan setiap latihan dan kursus yang dianjurkan oleh pihak rejimen.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri dan Hari Keluarga Rejimen 504 Askar Wataniah yang diadakan di Pauh Inn Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra hari ini.
Keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.
Menurut Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen berkenaan, ‘Selaras dengan pelbagai audit yang telah dihadapi oleh pihak rejimen pada setiap tahun, pegukuhan penyatuan amatlah diperlukan dan dihayati oleh setiap lapisan pegawai dan anggota. Kita seharusnya menganalisa dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap teguran yang diberikan oleh Tim Pemeriksa. Sikap menuding jari dan bersangka buruk hanya akan mengeruhkan keadaan dan sudah pastinya menemui jalan buntu. Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama sebagai satu rumpun menjernihkan semula sebarang salah faham dan memperbaiki setiap teguran bagi meningkatkan kembali pengurusan rejimen ke arah lebih inklusif’.
Sementara itu Mohamad Zaidi memaklumkan bahawa walaupun sentiasa menghadapi pelbagai kekangan tugas dan SOP yang masih perlu dijaga, tugasan setiap pegawai dan anggota sebagai pasukan keselamatan tetap kita teruskan demi menjaga kedaulatan tanahair tercinta.