Apom balik pandan inti pulut hitam cetus viral
PULUT hitam lebih popular jika dimasak sebagai bubur. Dengan santan dan rasa manis secukupnya, ada juga yang makan pulut hitam yang disejukkan di dalam peti ais. Bagaimanapun bagi sepasang suami isteri yang tinggal di Jitra, Kedah, mereka memilih untuk menjadikan pulut hitam sebagai ‘inti’ di dalam apom balik yang dijual.
Kreatif, sungguh kreatif dalam inovasi apom balik. Lebih menarik lagi, apom balik yang diperisakan dengan daun pandan ini sekaligus berjaya melonjakkan jualan apom balik mereka sehingga menjadi viral.
Md Zahir Md Isa, 38, menceritakan perniagaan apom balik yang diusahakan bersama isterinya, Nor Azirah Lat, 36, telah diinovasi dengan pelbagai perisa termasuk pulut hitam selepas negara dilanda Covid-19 dan kerajaan pada ketika itu mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selepas PKP 2021, kami berniaga apom balik dengan lori di tapak yang disewa di tepi jalan Taman Suria, Jitra, Kedah” katanya ketika ditemui di pasar malam Titi Chai, Utan Aji, Kangar, Perlis.
Katanya lagi, segala-galanya bermula apabila ada pelanggan yang datang membeli apom balik, meminta supaya mereka cuba membuat apom balik pulut hitam,” katanya yang meniaga apom balik di nat (pasar sehari) dan pasar malam sebelum PKP.
Sahut isterinya pula, Nor Azirah, akhirnya dia mencabar dirinyauntuk menghasilkan apom balik berintikan pulut hitam, bukan jagung manis semata-mata seperti mana lazimnya.
Kata Nor Azirah lagi, beliau sendiri tidak menjangka apom balik pandan yang diperisakan dengan pulut hitam, kelapa parut dan jagung ini mendapat sambutan hangat dan menjadi viral.
Beliau berkata, apom balik pandan ini sebenarnya menggunakan air pandan asli tanpa bahan pewarna bagi menggekalkan aroma wanginya.
“Selain itu jagung yang digunakan sebagai inti untuk apom balik, juga saya buat sendiri,” katanya
Katanya, setakat ini hanya 12 perisa yang disediakan selain apom balik biasa dan “special yang bermula dari harga RM4 sehingga RM8.
Nor Azirah berkata, biasanya sebanyak 20 hingga 25 kilogram tepung digunakan bagi membuat apom balik.
Suami isteri ini tidak menafikan apom balik pandan pulut hitam memang mendapat permintaan paling tinggi sejak ia kembali viral di media sosial. – SM