Nasionalpilihan

APM selamatkan anak lembu jatuh parit

Seekor anak lembu betina diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas terjatuh dan terperangkap di dalam parit sedalam kira-kira tiga meter di Taman Tangga Batu, baru-baru ini.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, kehilangan anak lembu berusia
setahun lebih dan berat dianggarkan kira-kira 90 kilogram itu disedari pemiliknya kira-kira pukul 4.00 petang dan menghubungi APM Melaka Tengah untuk bantuan.

“Kes ini dirujuk oleh bilik operasi PDPA Melaka Tengah dan sepasukan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 4.37 petang.

“Sejurus tiba pada pukul 5.00 petang, didapati benar seekor anak lembu terperangkap di dalam parit dan anggota APM menggunakan tali untuk mengikat pada leher dan kaki haiwan itu sebelum ditarik ke luar.

“Seorang anggota berada di dalam parit bagi menolak anak lembu dan operasi selesai dalam masa 30 minit,” katanya di sini.

Sementara itu, pemilik lembu, Suhaina Mohamad Marzuki,35, berkata, dia bersyukur ternakannya berjaya diselamatkan dengan bantuan APM dan tidak cedera.

Katanya, dia menyedari seekor daripada empat ternakannya, iaitu sepasang induk dan dua anak hilang ketika memeriksa ternakannya dibiarkan meragut dalam kawasan kandang berpagar di belakang rumah.

“Saya mencari di sekitar kandang dan cuba memanggil namanya sebelum mendengar bunyi lembu melenguh dari arah parit di belakang kandang.

“Apabila diperiksa saya terkejut melihat anak lembu itu terjatuh di dalam parit dan segera menghubungi APM kerana buntu untuk mengeluarkannya,” katanya sambil
memaklumkan kejadian itu pertama kali berlaku sepanjang lebih lima tahun menternak lembu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button