Aplikasi PTTI diiktiraf Education 2.0 sebagai ‘Best Companies Award’ di luar negara
USAHA murni pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI, termasuk merangsang minat belajar dalam talian menerusi aplikasi diperkenalkan diiktiraf di pentas global. Ternyata aplikasi pembelajaran dalam talian dipanggil PTTI: Better Result yang dipromosikan tahun lalu memberi manfaat kepada ramai pelajar.
Menerusi persidangan dipanggil Education 2.0 yang menghimpunkan ramai pejuang ilmu dan akademik itu, pusat ilmiah berkenaan dinobatkan sebagai penerima Education 2.0 – Best Companies Award.
Majlis yang berlangsung di Intercontinental Dubai Festival City, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu mencatat kejayaan bermakna sekali gus menjadikannya sebagai aplikasi pembelajaran kebanggaan Malaysia pertama menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Tak ketinggalan, pengiktirafan yang diterima pada 23 Mac lalu (semalam) itu juga dinilai kepada sumbangan PTTI dalam menyediakan platform untuk rangkaian dan perkongsian ilmu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana memanjat kesyukuran dan rasa bangga kerana usaha mereka dipandang di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini menjadi penanda aras baharu kepada kami dalam terus memastikan niat membangkitkan sektor pendidikan di tangga paling utama. Kejayaan ini juga hasil kerja keras dan usaha pasukan kami yang menjadi nadi di sebalik susur galur kembara perjalanan PTTI.
“Tak dilupakan kepada tulang belakang, mentor usahawan Datuk Wira Dr Azizan Osman, ibu bapa, keluarga tersayang dan teman. Pengiktirafan ini juga bukan penamat untuk kami statik di zon selesa. Perjuangan menyebar ilmu ini takkan pernah berakhir,” kata Cikgu Fana.
Tambahnya, visi dan misi pusat ilmiah itu untuk menjadi syarikat berasaskan pendidikan dan teknologi atau disebut edutech tetap berpaksikan tiga prinsip utama.”Pertama, kami mahu terus memberi manfaat kepada orang lain terutama pelajar dengan tangkas dan fleksibel. Kedua, kami juga mahu terus berinovasi untuk kualiti pendidikan yang lebih baik.
“Ketiga, untuk memastikan kami terus menyampaikan hasil terbaik demi kecemerlangan pelajar. Secara rumusannya, kami juga mengubah masa depan dan memberi impak kepada pendidikan 1 bilion pelajar seluruh dunia demi hasil dan kehidupan lebih baik,” katanya lagi.
Selain Cikgu Fana, kunjungannya ke Dubai sejak 21 Mac lalu turut ditemani lima lagi yang lain termasuk Pengurus Besar PTTI, Muhd Habibunajjar Sazali (Cikgu Habib). Untuk pengetahuan, pengiktirafan berkenaan dinilai daripada lima sudut termasuklah reputasi dibina, aspek kreatif, pandangan kewangan, berdaya saing dan berkepimpinan tinggi.
Penilaian dibuat berdasarkan pertimbangan serta penyelidikan teliti juga tidak syak lagi menyebelahi pusat ilmiah itu untuk diangkat sebagai penerima pengiktirafan terbabit. Pusat ilmiah itu bermula secara tidak rasmi sekitar tahun 2014.
Bagaimanapun pada tahun 2016, pusat berkenaan menjadi semakin agresif dalam terus memberi manfaat kepada pelajar. Sepanjang tempoh kewujudan, pusat ilmiah itu turut menggunakan golongan berpengaruh yang cemerlang dalam akademik seperti Mira Filzah dan terbaru Iman Troye dan MK K-Clique sebagai duta. – SM