NasionalParlimen

Usul lanjut SOSMA gagal sebab PH tak tunai MoU- Isham Jalil

SEMALAM satu usul kerajaan telah ‘kalah’ di dalam Dewan Rakyat. Usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah untuk melanjutkan tempoh penguatkuasaan suatu seksyen dalam Akta SOSMA dalam undang-undang keselamatan negara. Ini adalah suatu usul penting.

Kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor, Isham Jalil, 86 Ahli Parlimen telah menentang usul ini manakala hanya 84 menyokong. 50 orang lagi tidak hadir sama ada mereka tidak minat, tidak sokong atau ada kecemasan. 86 orang Ahli Parlimen yang menolak, kebanyakannya adalah dari Pakatan Harapan (PH),” katanya melalui hantaran di Facebook.

Kata Isham, “Selama ini saya tidak pernah dengar mana-mana usul yang dibawa oleh Kerajaan dalam Dewan Rakyat gagal atau ‘kalah’ kerana ditolak secara majoriti oleh Ahli Parlimen.

“Kerajaan ‘kalah’ usul ini jarang-jarang sekali berlaku atau mungkin tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia.

“Biasanya kerajaan akan seboleh-bolehnya memastikan Ahli-Ahli Parlimen mereka tetap hadir untuk menang usul dengan jumlah undi yang mencukupi. Jika masih ‘kalah’ maksudnya memang usul itu tidak mendapat sokongan.”

Apabila sesuatu usul yang dibawa oleh kerajaan kalah di Parlimen, tegas Isham lagi, ia adalah satu perkara yang penting dan kritikal.

“Ia menunjukkan bahawa kerajaan yang ada sekarang tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat di Parlimen,” ujarnya.

Senario ‘kalah’ usul di Dewan Rakyat, kata Isham lagi, membawa kepada dua implikasi.

“Pertama, perjanjian persefahaman (MOU) yang ditandatangani oleh kerajaan dengan PH dahulu yang mana mereka (PH) kononnya akan menyokong kerajaan adalah suatu penipuan.

“Kedua, apabila kerajaan tidak mampu untuk menang usul di Dewan Rakyat, agak sukar untuk membayangkan yang kerajaan akan mampu menggubal undang-undang dan dasar yang baik untuk memulihkan negara tanpa diganggu-gugat oleh ketidakstabilan politik seperti sekarang.

“Jika keadaan ini berterusan, pelabur-pelabur akan terus menjauhkan diri. Justeru rakyat akan kekal tidak ada kerja,” kata Isham.

Beliau berkata, kita perlu memulihkan ekonomi segera tanpa gangguan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan seperti sekarang akibat mandat yang telah hilang sejak Langkah Sheraton dua tahun lepas.

“Sebab itu cadangan saya ialah supaya kita tidak perlu tunggu empat bulan lagi iaitu sehingga Julai baharu hendak bincang untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Jika Parlimen perlu dibubar untuk mengembalikan mandat kepada rakyat bagi mencapai kestabilan politik segera, maka itulah yang perlu dibuat dahulu.

“Ketepikan ego dan kepentingan diri serta jawatan dan kembalikan mandat kepada rakyat. Masa ini adalah masa yang kritikal untuk rakyat dan negara,” jelasnya.

Seperkara lagi, kata Isham, UMNO tidak pernah tandatangan MoU dengan PH.

“Yang tandatangan MoU dengan PH adalah kerajaan campuran yang terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen.

“Walaupun ada Ahli-Ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan namun Majlis Tertinggi dan akar umbi UMNO tidak pernah bersetuju waima bincang pun berkenaan keperluan untuk menandatangani MoU dengan PH,” katanya. – SM

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button