NasionalRencana

Apabila tuan tanah sudah banyak bertolak ansur

ANALISIS

WALAUPUN negara kita mula menampakkan sesuatu keputusan yang positif dalam memerangi pandemik COVID-19 yang melanda dunia, sebenarnya kita masih perlu berhati-hati dalam apa jua tindakan dan keputusan yang dibuat kerana kita masih lagi dalam “peperangan” .

Perlu diingatkan yang kejayaan masih belum dimiliki secara mutlak.

Dan dalam kesibukan kita memerangi COVID-19 yang turut menjadi ancaman dunia, rakyat Malaysia juga berasa terancam dengan beberapa isu lain yang turut dilihat memberikan ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan yang lama kita pertahankan.

Seterusnya, catatan Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu Malaysia, Shahbudin Embun daripada perspektif beliau untuk SUARA MERDEKA.

Antara isu yang dimaksudkan itu ialah tentang pelarian Rohingya dan mengapa mereka ini perlu dihantar pulang ke negara asal. Isu ini turut diperkatakan dengan meluas khasnya di kalangan warga internet yang nampaknya begitu bersemangat dan penuh emosi apabila membicarakan isu ini.

Sebenarnya isu ini bukanlah satu masalah baru tetapi dari semasa ke semasa ianya akan muncul apabila timbul sesuatu perkara yang dikaitkan dengan isu ini. Contohnya, pada 16 April lalu, pasukan TUDM, TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah berjaya menghalang kemasukan bot yang dipenuhi oleh pelarian Rohingya yang ingin memasuki perairan negara untuk mendarat dan mendapatkan perlindungan di negara kita.

Di atas prinsip kemanusiaan, pihak berkuasa telah memberikan bantuan makanan dan minuman sebelum mengiringi bot tersebut keluar menuju perairan antarabangsa. Tindakan pihak berkuasa ini telah mendapat reaksi yang berbeza daripada masyarakat tempatan . Ada yang mahukan pelarian ini dilindungi atas nama kemanusiaan kerana mereka terpaksa memilih jalan ini untuk lari dari penindasan dan kekejaman yang boleh menyebabkan kematian.

Manakala ramai juga bersetuju dengan tindakan menghalang kemasukan bot tersebut kerana Malaysia sendiri sedang dilanda masalah yang berkaitan dengan Covid 19 dan kemasukan pelarian Rohingya mungkin boleh memburukkan lagi keadaan.

Apatah lagi, pada masa yang sama, timbul pula isu menuntut hak kerakyatan penuh untuk pelarian Rohingya dan hak sama rata dengan rakyat Malaysia seperti yang tular di media sosial. Walaupun perkara ini dinafikan atas alasan ianya sebuah berita palsu dan fitnah, namun isu ini telah cukup untuk menimbulkan kesedaran dan kemarahan masyarakat di Malaysia.

Tidak lama selepas itu, muncul pula isu di facebook yang mana dipercayai dua lelaki yang merupakan warga Rohingya telah mencabar dan menghina masyarakat Malaysia. Video yang terus mendapat perhatian masyarakat kita telah menerima kecaman yang hebat dan para netizen mahu kedua-dua lelaki itu ditahan. Difahamkan pihak polis sedang menyiasat perkara ini.

Isu-isu ini telah menyebabkan berlakunya perdebatan khasnya di media sosial. Ada yang menganggap masyarakat pelarian Rohingya diibaratkan seperti Kaduk sudah naik junjung. Walaupun peribahasa ini mempunyai beberapa pengertian, namun dalam konteks ini ianya diibaratkan seperti orang yang datang bertandang tiba-tiba cuba berlagak lebih daripada tuan rumah.

Begitu juga dengan peribahasa diberikan betis mahukan peha pula . Dalam hal ini masyarakat Rohingya dilihat seperti tidak berterima kasih dengan segala bantuan yang telah kita berikan. Mereka mula sedar dan bimbang, jika pelarian ini tidak dihantar balik ke negara asal, ada kemungkinan etnik Rohingya ini akan terus berkembang dan meluaskan pengaruh mereka hingga menjejaskan kehidupan dan ekonomi masyarakat tempatan di Malaysia. Di sinilah timbulnya isu keselamatan dan kedaulatan.

Masalah pelarian Rohingnya mungkin menjadi pencetus kepada kesedaran masyarakat Malaysia bagaimana masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) telah banyak menimbulkan masalah khasnya yang berkaitan dengan sosial dan ekonomi.

Apatah lagi sekarang Malaysia sedang bertarung dengan pandemik COVID-19. Mereka tidak mahu soal kebajikan pelarian Rohingya dan juga masalah PATI diutamakan sedangkan masih ramai rakyat Malaysia yang perlukan bantuan khasnya ketika berdepan dengan masalah pandemik COVID-9 yang tentunya memberikan kesan yang mendalam pada ekonomi negara.

Itu sebabnya dalam keadaan sekarang, keutamaan kerajaan perlulah hanya kepada rakyat Malaysia yang telah kehilangan pekerjaan. Mungkin sudah sampai masanya kita tidak perlu bergantung pada pekerja asing dan peluang perlu diberikan kepada rakyat Malaysia. Dalam hal ini, rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan tidak boleh memilih dan perlu mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin.

Mereka tidak mahu kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Bahkan dalam beberapa luahan yang kita lihat di media sosial, ada yang begitu emosi dan mengingatkan yang tuan tanah asal negara ini sudah banyak bertolak ansur hinggakan banyak perkara yang terpaksa dikorbankan demi menjaga hati beberapa pihak. –  SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button