Berita

Apa yang Khalid Samad mengarut ni?

KOMENTAR

KALAULAH kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak tersilap, bahkan pandang jauh ke hadapan, masalah yang menimpa negara akibat COVID-19 mungkin tidak seteruk hari ini.

Setakat hari ini, Malaysia mencatatkan 117 kes positif COVID-19, menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 790 kes, dengan dua kematian.

Wahai saudara Khalid Abdul Samad, bekas Menteri Wilayah Persekutuan! bukankah COVID-19 terbongkar dengan kes pertama di Wuhan,China pada Disember 2019?

Jom saudara Khalid untuk bersama Suara Merdeka semak dan perhatikan apa telah pemimpin-pemimpin PH sebutkan pada tarikh-tarikh berikut selepas kes pertama COVID-19 di Wuhan berkenaan:

1) KENYATAAN TUN DR MAHATHIR MOHAMAD, 25 JANUARI 2020 – Lapor Astro Awani

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengkaji semula pemberian visa 15 hari kepada rakyat China walaupun timbul kebimbangan mereka turut terjangkit dengan koronavirus atau 2019-nCoV, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, rakyat asing yang ingin memasuki negara ini akan melalui pemeriksaan yang ketat sebagai usaha mengekang penularan penyakit itu.

“Pada ketika ini belum lagi, tetapi kita periksa kesemua pelancong yang datang ke negara ini, terutamanya dari China,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Selangor (DPCKLS) di Kuala Lumpur.

2) KENYATAAN DATUK SERI DR DZULKEFLY AHMAD, 31 JANUARI 2020 – Lapor MetroTV

PUTRAJAYA: “KITA tidak menggalakkan tetapi tidak pula kita kata sekat.

“Sebaik keperluan dan kepentingan itu mendesak, kita akan lakukan tindakan.”
Itu kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkaitan lawatan antara dua negara Malaysia dengan China susulan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV) dalam sidang media di Putrajaya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini dipetik berkata, penangguhan penerbangan antara dua negara tetap dalam kajian dan tindakan diambil nanti mengikut nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

3) KENYATAAN DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL, 2 FEBRUARI 2020 – Lapor Berita Harian

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meminta rakyat tidak menyebarkan berita palsu mengenai penularan koronavirus 2019 (2019-nCoV) di beberapa negara termasuk Malaysia ketika ini.

Beliau berkata, penyebaran berita palsu boleh menimbulkan suasana panik dan akan lebih memburukkan keadaan.

“Saya juga nak kongsi di sini bahawa saya telah pergi melawat petugas barisan hadapan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), klia2, Kementerian Kesihatan dan semua yang terbabit. Kita terhutang budi kepada mereka kerana ambil risiko yang tinggi.

“Jadi janganlah keluarkan berita dan perkara tidak betul. Sama-samalah kita bantu tangani masalah ini kerana kita bukan boleh berseorangan menghadapi wabak ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (INSAF) di sini, malam ini.

4) KENYATAAN ANTHONY LOKE, 13 FEBRUARI 2020 – Lapor Harian Metro

– RAKYAT tidak perlu khuatir dengan kemasukan pelancong asing melalui pelabuhan berikutan terdapat dua saringan kesihatan yang dilakukan ke atas semua pelancong susulan penularan Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, rakyat tidak perlu panik dan takut walaupun kerajaan masih membenarkan kapal persiaran masuk ke negara ini.

“Bagi prosedur kapal, sebelum masuk, senarai lengkap penumpang sudah diberikan kepada pihak berkuasa iaitu operator dan lembaga pelabuhan, jadi kita tahu maklumat setiap kapal.

“Dalam prosedur atau kapal juga, kesihatan mereka sudah pun diperiksa sebelum turun, jika ada simptom sakit atau demam, mereka akan dikuarantin di atas kapal dan tidak akan dibenarkan masuk.
“Kita juga ada pemeriksaan kedua, iaitu pengimbas suhu, jika suhu pelancong meningkat mereka tidak boleh masuk kerana hanya mereka yang sihat dan tiada sebarang simptom sahaja dibenarkan masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke tempat saringan kesihatan di Boustead Cruise Center di Pelabuhan Klang.

5) KENYATAAN DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL, 21 FEBRUARI 2020 – Lapor Sinar Harian

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan mengenakan sekatan terhadap kemasukan rakyat China ke negara ini berikutan wabak Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Berhubung Covid-19 yang dipengerusikannya hari ini.

“Kita ada bincang, tetapi kita putuskan untuk tidak sekat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan memperketatkan kawalan terhadap pelancong dan pelajar China di pintu masuk utama negara.

“Kita akan mempertingkatkan kawalan dengan melakukan ujian saringan termasuk swab test ke atas mereka bergejala.

”Sekiranya tidak bergejala, mereka akan diperintah menjalani pengawasan di rumah,” katanya.

Jadi, apa kata Khalid setelah membaca kenyataan-kenyataan para pemimpin PH yang dilaporkan secara meluas oleh akhbar-akhbar tempatan tempoh hari?

Agak tidak matang untuk Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara itu dalam ciapan twitternya secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan kononnya virus COVID-19 yang semakin merebak di negara ini akibat perbuatan khianat beberapa pihak dalam Perikatan Nasional.

Macam manalah Khalid yang bijak pandai boleh `terfikir sejauh itu’ dengan mendakwa tindakan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Tan Sri Muhyiddn Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan menyebabkan negara ditimpa bala.

Alahai Khalid oh Khalid!

– SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button